Ketika dunia menyaksikan krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing, satu lagi Nakba sedang berlaku di Baitul Maqdis. Laporan Middle East Eye mendedahkan bahawa rejim Zionis telah memusnahkan sekurang-kurangnya 50 buah kediaman di Silwan sejak Oktober 2023.
Kemusnahan yang berlaku di Silwan dan pembangunan di E1 membuktikan rejim Zionis semakin merancakkan pemusnahan identiti geografi Palestin di Baitul Maqdis untuk mencapai agenda mereka. Dua lokasi berbeza ini cukup memberi satu gambar besar bahawa masa depan Baitul Maqdis semakin membimbangkan.
Kita fahami dulu lokasi dua kawasan yang menjadi perhatian rejim Zionis hari ini.
E1 ialah zon perancangan penempatan haram yang dibangunkan kerajaan haram Israel di Baitul Maqdis Timur, di antara Kota Lama dengan penempatan haram Ma’ale Adumim. Silwan pula ialah kawasan Palestin di selatan Kota Lama Baitul Maqdis.

Walaupun kedua-dua kawasan ini berdepan dengan isu yang berlainan – timur Baitul Maqdis dipisahkan oleh kewujudan E1 dan penduduk di selatannya berdepan dengan pengusiran dari dalam – kedua-duanya berkait dengan penguasaan ruang, perubahan demografi dan pemutusan hubungan Palestin dengan Baitul Maqdis.
E1, Kawasan Penting untuk Israel
E1 bukan muncul secara tiba-tiba pada tahun ini. Kawasan pembangunan penempatan haram Israel itu sudah mula dirancang seawal 1991 dengan keluasan 12 kilometer persegi. Memandangkan kedudukannya yang terletak di sebelah timur Baitul Maqdis; dibangunkan di atas tanah yang didiami dan digunakan komuniti Badwi seperti suku Jahalin, timbul kebimbangan yang mana penguasaan Israel akan meningkat dan arah tuju kehidupan rakyat Palestin di Baitul Maqdis menjadi tanda tanya. Sebagai rekod, pada Ogos 2025, pelan penempatan haram Israel E1 telah diluluskan dan bidaan tender telah dibuka bermula 5 Ogos 2026 sehingga 5 Oktober 2026. Berdasarkan pelan, sebanyak 3,401 unit rumah akan dibina, sekali gus menghubungkan Ma’ale Adumim dan mengukuhkan komuniti Israel berdekatan Masjid al-Aqsa di timur Baitul Maqdis.
Bagi komuniti Badwi pula, mereka bukan sahaja kehilangan tempat kediaman, malah sumber pendapatan tradisional seperti penternakan, penggembalaan dan pertanian, termasuk jaringan keluarga dan kabilah mereka. Data menunjukkan kemerosotan ketara terhadap ekonomi tradisional ini. Dalam kalangan komuniti yang dipindahkan ke penempatan baharu, hanya sekitar 30% penduduk masih memperoleh pendapatan daripada penternakan. Sekatan terhadap tanah ragutan, kos makanan haiwan dan perobohan kemudahan pula memaksa sebahagian keluarga menjual ternakan serta mencari pekerjaan lain.
Namun, krisis ini tidak hanya terhad kepada skop yang telah dibentangkan di atas.
Ia lebih daripada itu.
Dalam satu pertemuan mengenai pelaksanaan Resolusi 2334 (2016) yang menegaskan bahawa aktiviti penempatan haram di wilayah Palestin yang dijajah, termasuk timur Baitul Maqdis mesti dihentikan. Pemangku Penyelaras Khas bagi Proses Damai Timur Tengah serta Penyelaras Residen dan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ramiz Alakbarov memberi amaran bahawa pelan pembangunan E1 adalah ancaman kepada penyelesaian dua negara. Beliau turut menegaskan bahawa projek tersebut tidak sah di sisi undang-undang dan wajib dihentikan.
Hakikatnya, pelan ini bukan sekadar di atas kertas. Rekod menunjukkan Kementerian Perumahan Israel telah mengeluarkan tender untuk 2,240 unit kediaman di Kawasan C pada September, termasuk 1,234 unit di E1. Pada masa yang sama, Kementerian Kewangan Israel meluluskan peruntukan 1.3 bilion shekel (RM1.7 bilion) untuk kediaman sementara di lebih 10 penempatan haram baharu di seluruh Tebing Barat.
Secara tidak langsung, pelan ini boleh memecah-belahkan wilayah Palestin, sekali gus menyukarkan pergerakan penduduk serta hubungan antara timur Baitul Maqdis dengan bandar dan kampung Palestin di Tebing Barat.
Tekanan Pengusiran di Silwan
Di Silwan, penjajah Israel tidak sekadar mengusir penduduk, mereka merampas rumah, memadam sejarah dan menggantikan pemilik asal dengan pendatang haram Israel. Menurut Al-Haq, sejak Januari 2026 sahaja, 29 buah rumah penduduk Palestin telah dirobohkan oleh pasukan penjajah, menjadikan jumlahnya 264 buah sejak 2019. Pada 25 Mac 2026, 16 keluarga di Batn al-Hawa dihalau keluar daripada 15 buah apartmen mereka, melibatkan 75 individu termasuk 34 kanak-kanak. Mereka diusir tanpa sempat membawa barang, sedangkan tempoh sah pengusiran belum tamat; dan organisasi Yahudi-Israel, Ateret Cohanim yang menuntut tanah itu terus mengambil alih rumah-rumah tersebut. Di kawasan City of David pula, rumah penduduk retak akibat penggalian di bawahnya, tetapi permit membaiki dinafikan sehingga ada yang runtuh. Di al-Bustan juga tidak ketinggalan berdepan dengan keganasan yang sama dengan alasan pembinaan taman tema keagamaan, King’s Garden Park susulan dakwaan bahawa Raja Daud pernah membina kerajaannya di situ. Pada masa yang sama, di bahagian selatan Masjid al-Aqsa berada dalam ancaman perluasan kawasan penempatan haram Yahudi.
Semua yang berlaku di Silwan dilakukan atas nama ‘undang-undang’ yang hanya memberi hak menuntut semula tanah kepada bangsa Yahudi, manakala rakyat Palestin yang dihalau sejak Nakba 1948 dinafikan hak yang sama. Inilah persekitaran paksaan yang sengaja diwujudkan supaya rakyat Palestin tiada pilihan selain meninggalkan tanah mereka.
Kenapa kita perlu ambil tahu?
Apa yang berlaku di Baitul Maqdis semakin meruncing, tetapi jarang kita bahaskan. Benar, Gaza sedang diratah Zionis dan menjadi perhatian dunia, tetapi bagaimana pula dengan masa depan Masjid al-Aqsa?
Pelan E1 pernah terbantut lebih dua dekad kerana tentangan antarabangsa, termasuk keengganan pentadbiran Parti Republikan dan Parti Demokrat di Amerika Syarikat (AS) untuk memberi sokongan penuh. Namun, apa yang berlaku sejak 1991 sehingga hari ini ialah mini Nakba di Silwan dan dalam kalangan masyarakat Badwi di E1. Pengusiran demi pengusiran dilakukan tanpa henti demi menjayakan projek Zionis, sedangkan Resolusi 2334 sudah jelas menyatakan bahawa penempatan haram di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, termasuk Baitul Maqdis timur adalah tidak sah.
Di E1, hubungan Baitul Maqdis Timur dengan Tebing Barat semakin terancam. Di Silwan pula, keluarga Palestin berdepan kemungkinan kehilangan rumah di tanah yang telah didiami selama beberapa generasi. Lebih parah, E1 berpotensi memecahkan Tebing Barat kepada dua bahagian, sama seperti peta Palestin yang sudah dipisahkan oleh negara haram Israel antara Tebing Barat dan Gaza. Ini bermakna ruang untuk kehidupan dan penentuan nasib rakyat Palestin semakin dikecilkan.
E1 dan Silwan membuktikan bahawa penguasaan wilayah tidak semestinya berlaku melalui peperangan terbuka. Ia juga berlaku melalui pelan pembangunan, permit yang tidak diluluskan, jalan yang mengubah pergerakan, perintah mahkamah dan rumah yang dirobohkan satu demi satu.
Ia juga adalah satu strategi. E1 memisahkan Baitul Maqdis Timur daripada Tebing Barat, manakala Silwan, di selatan Masjid al-Aqsa dikosongkan daripada penduduk asalnya. Apabila kedua-duanya digabungkan, yang dipertaruhkan ialah identiti Baitul Maqdis itu sendiri.
Semua ini berlaku di depan mata dunia. Resolusi 2334 sudah menegaskan bahawa penempatan haram adalah tidak sah dan PBB sendiri telah memberi amaran bahawa E1 mengancam penyelesaian dua negara. Al-Haq menggesa masyarakat antarabangsa bertindak, termasuk melalui sekatan dan pertanggungjawaban undang-undang. Jika dunia terus diam, setiap rumah yang dirobohkan di Silwan dan setiap tender yang dibuka di E1 akan menjadi fakta di lapangan kemanusiaan antarabangsa yang semakin sukar diundurkan.
Tugas kita bukan sekadar bersimpati. Kita perlu terus bersuara, menyebarkan kebenaran dan menuntut dunia bertindak, sebelum Baitul Maqdis berubah menjadi sesuatu yang tidak lagi dikenali oleh pemilik asalnya.
Disediakan oleh: Nur Sabrina binti Suhaimi | Eksekutif Penyelidik dan Advokasi Cinta Gaza Malaysia