Hampir 950,000 Penduduk Gaza Berdepan Ancaman Banjir

Hampir 950,000 rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di semenanjung Gaza berdepan risiko banjir susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang yang boleh menjejaskan khemah serta pusat perlindungan sementara, menurut amaran pihak Pertahanan Awam Gaza.

Amaran itu dikeluarkan ketika keadaan cuaca buruk dijangka melanda wilayah berkenaan pada Jumaat, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk yang terpaksa berlindung di dalam khemah atau bangunan kediaman yang rosak akibat serangan rejim Israel. Hujan lebat dan tiupan angin kuat turut dikhuatiri menyebabkan sebahagian struktur bangunan runtuh.

Menurut angka Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), kira-kira 950,000 penduduk kehilangan tempat tinggal di kawasan yang mempunyai risiko banjir sederhana hingga tinggi. Daripada jumlah itu, lebih 400,000 orang berdepan risiko banjir yang tinggi, manakala kira-kira 44,000 lagi tinggal di lebih 2,300 bangunan yang dikenal pasti tidak selamat dari segi struktur.

Direktorat Pertahanan Awam Palestin menggesa penduduk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko akibat cuaca buruk. Antaranya termasuk memastikan kanvas khemah dan pancang dipasang dengan kukuh, membina benteng tanah di sekeliling khemah serta menggali saluran bagi mengalirkan air hujan. Penduduk turut dinasihatkan meletakkan barangan penting di tempat lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan akibat air bertakung.

Agensi itu turut memberi amaran kepada keluarga yang berlindung di bangunan yang musnah supaya tidak terus menetap di struktur yang berisiko runtuh atau mendirikan khemah berhampirannya. Mereka digesa berpindah ke kawasan lebih selamat. Organisasi kemanusiaan dan komuniti pula digesa agar segera menyediakan tempat perlindungan yang lebih kukuh dan selamat untuk keluarga terjejas berlindung daripada cuaca buruk.

Krisis perlindungan di Gaza semakin meruncing susulan kemusnahan besar kawasan perumahan akibat serangan ketenteraan rejim Israel sejak Oktober 2023. Data Pejabat Media Kerajaan Gaza pada Ogos 2026 menunjukkan lebih 2.15 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, termasuk kira-kira 867,000 orang yang berlindung di khemah uzur dan lebih sejuta lagi ditempatkan di pusat perlindungan.

OCHA turut melaporkan bahawa kira-kira 294,250 keluarga memerlukan bantuan tempat perlindungan menjelang musim hujan. Risiko banjir semakin meningkat berikutan kerosakan sistem saliran, khususnya di kawasan tanah rendah, manakala kekurangan peralatan kecemasan menyukarkan usaha menangani bencana. Kekangan bahan binaan dan jentera berat pula membantutkan kerja membaiki kemudahan perlindungan yang rosak.

Sementara itu, sekatan Israel terhadap kemasukan bahan dan peralatan yang diperlukan untuk membina serta membaiki tempat perlindungan dilaporkan masih berkuat kuasa meskipun perjanjian gencatan senjata mula dilaksanakan pada 10 Oktober 2025. Keadaan itu menyebabkan ribuan keluarga terus terdedah kepada ancaman hujan, angin kencang dan banjir, sekali gus menambah beban krisis kemanusiaan yang dihadapi penduduk Gaza.

Sumber: Anadolu, The Palestine Chronicle

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pilihan Raya Pertengahan Penggal Amerika: Dari Gaza ke Kekalahan Republikan

Next Post

E1, Silwan dan Perebutan Masa Depan Baitul Maqdis

Related Posts