Menurut akhbar Israel, Yedioth Ahronoth, Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu memanipulasi dokumen berkaitan amaran keselamatan yang diterimanya sebelum serangan 7 Oktober 2023 dengan membuang sebahagian kandungan serta mengubah susunan bahasa dan konteks dokumen tersebut.
Menurut laporan itu, perbandingan dokumen setebal 55 halaman yang dikemukakan Netanyahu dan didedahkan kepada umum pada Februari 2026 dengan dokumen asal menunjukkan terdapat beberapa perubahan, khususnya berkaitan amaran mengenai kemungkinan serangan HAMAS sebelum 7 Oktober. Netanyahu sebelum ini menafikan bahawa dia telah menerima amaran sedemikian.
Menurut akhbar itu, dalam dokumen tersebut, Netanyahu membawa naratif yang mendakwa dia menggesa pembunuhan pemimpin HAMAS, namun cadangan itu ditolak oleh barisan keselamatan yang memilih pendekatan meredakan ketegangan. Bagaimanapun, dokumen asal memberikan gambaran berbeza dalam tempoh menjelang serangan itu yang menunjukkan Netanyahu kekal tenang, tidak meluluskan operasi pembunuhan, menganggap HAMAS berjaya dihalang dan tidak bertindak berdasarkan amaran yang diterimanya.
Siasatan itu turut mendedahkan bahawa Ketua Shin Bet ketika itu, Ronen Bar berulang kali memberi amaran mengenai kemerosotan tahap pencegahan Israel dan kemungkinan keadaan keselamatan menjadi semakin buruk. Pada 10 September 2023, Bar memberi amaran bahawa Israel berdepan keadaan keselamatan yang serius dan berbeza daripada apa yang pernah diketahui, namun Netanyahu dikatakan menetapkan matlamat untuk memastikan tempoh perayaan berlangsung dalam keadaan setenang mungkin.
Menurut Yedioth Ahronoth, dokumen asal menunjukkan gambaran lebih kompleks, termasuk amaran berulang mengenai kemungkinan perluasan konflik serta perbincangan dalam kalangan pegawai keselamatan mengenai operasi terhadap kepimpinan HAMAS. Akhbar itu turut melaporkan bahawa Netanyahu pernah berkata serangan ke atas Gaza mungkin membantu Israel, tetapi tidak akan mengubah arah asas keadaan.
Pendedahan itu dibuat ketika terdapat desakan supaya Israel menerbitkan keseluruhan minit mesyuarat dan dokumen keselamatan sebelum serangan 7 Oktober 2023. Pihak pembangkang dan sebahagian besar masyarakat Israel sejak itu turut menuntut penubuhan suruhanjaya siasatan rasmi, namun langkah berkenaan ditolak Netanyahu.
Netanyahu kini mengetuai kerajaan haram Israel ketika wilayah haram itu sedang membuat persiapan menghadapi pilihan raya Knesset pada 27 Oktober. Siasatan mengenai amaran sebelum 7 Oktober dijangka terus menjadi isu politik utama, khususnya berhubung persoalan sama ada kerajaan dan institusi keselamatan Israel telah mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan maklumat yang diterima sebelum serangan tersebut.
Sumber: al-Jazeera