Antara Pelan Hala Tuju AS dan Pembentukan Semula Sistem Serantau di Palestin

Sejak perjanjian gencatan senjata mula berkuat kuasa pada Oktober 2025, landskap Palestin seolah-olah terperangkap antara dua perkara yang bergerak selari tetapi tidak pernah benar-benar bersatu: Idea ‘keamanan’ yang digunakan oleh Rumah Putih dan Lembaga Keamanan (BOP) yang diketuai oleh Nikolay Mladenov, dengan situasi di lapangan yang masih merekodkan serbuan, penangkapan dan operasi merobohkan rumah di Tebing Barat, di samping serangan udara berterusan ke atas Gaza meskipun perjanjian tersebut telah berkuat kuasa.

Dualiti ini bukanlah fenomena sementara, sebaliknya merupakan pola yang berulang dalam setiap fasa peralihan yang dilalui ketika membicarakan tentang isu Palestin sejak Perjanjian Oslo, di mana istilah ‘keamanan’ diprojekkan sebagai prosedur pentadbiran bagi mengawal penduduk dan bukannya sebagai penyelesaian politik yang menamatkan keterkaitan penguasaan serta kawalan.

Fasa Kedua: daripada Gencatan Senjata kepada Pelucutan Senjata

Perkembangan paling penting berlaku pada minggu terakhir Ogos, apabila pertikaian mengenai mekanisme pelaksanaan fasa kedua dalam pelan Amerika Syarikat (AS) semakin memuncak. Menurut gambaran yang dikemukakan oleh BOP, pelucutan senjata HAMAS dan proses pengesahannya akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Dalam pada itu, pasukan pendudukan rejim Israel pula akan berundur dari setiap kawasan sebaik sahaja mereka sahkan bahawa kawasan tersebut telah kosong daripada senjata. 

Namun, Netanyahu berpegang pada tuntutan agar pelucutan senjata perlu dilaksanakan di seluruh semenanjung Gaza terlebih dahulu sebagai prasyarat bagi sebarang pengunduran tentera tambahan. Pertikaian itu turut merangkumi persoalan tentang nasib senjata berat dan ringan, tempat penyimpanan senjata, kemudahan pembuatan senjata dan terowong, serta persoalan mengenai pihak yang akan bertanggungjawab untuk menguatkuasakan perjanjian sekiranya HAMAS melanggarnya.

Pertikaian mengenai urutan pelaksanaan ini bukanlah sekadar persoalan teknikal semata. Sebaliknya, ia mencerminkan perebutan kuasa mengenai siapa yang ada autoriti untuk menentukan bilakah tahap keselamatan dianggap telah tercapai dan bila ia akan dilaksanakan. Dalam pengertian Foucauldian, persoalannya adalah tentang siapa yang mempunyai kuasa dan autoriti untuk mengawal tempoh peralihan serta menentukan bila keadaan darurat keselamatan boleh dianggap telah berakhir.

Penolakan terbuka Netanyahu terhadap pelan pelucutan senjata di bawah tekanan rakan sekutunya dan pesaingnya pada Ahad lalu, meskipun beberapa hari sebelumnya telah berjanji kepada Kushner melalui panggilan telefon untuk memberikan peluang kepada pelan tersebut, menunjukkan bahawa kerajaan rejim Israel melihat ‘keamanan’ lebih sebagai instrumen rundingan politik dalaman berbanding komitmen strategik.

Sikap keras dalam pendirian tersebut juga tidak boleh dipisahkan daripada timeline pilihan raya di sana. Pilihan raya wilayah haram Israel yang dijadualkan pada Oktober depan  telah menambahkan lagi sensitiviti politik dalam rundingan mengenai masa depan Gaza. Keadaan ini menjadikan sebarang konsesi di lapangan sebagai sesuatu yang dilihat berpotensi menjadi kos politik kepada Netanyahu, khususnya di hadapan kelompok sayap kanan dalam gabungannya.

Oleh itu, lawatan Kushner, Mladenov dan Tony Blair yang dijangka akan ke wilayah haram Israel dan Mesir boleh dilihat sebagai usaha AS untuk ‘meredakan’ pertembungan antara logik perjanjian antarabangsa dengan logik kelangsungan politik dalaman rejim Israel dan bukannya sebagai langkah ke arah penyelesaian yang benar-benar muktamad.

Tebing Barat: dari Pengecualian kepada Normalisasi Pentadbiran

Seiring dengan perkembangan di Gaza, Tebing Barat juga sedang menyaksikan satu perubahan struktur yang lebih membimbangkan dari sudut kesan jangka panjang iaitu pemindahan kuasa ‘penguatkuasaan undang-undang’ ke atas kumpulan pendatang haram — daripada tentera kepada polis rejim Israel.

Walaupun keputusan ini kelihatan bersifat prosedural, pada hakikatnya ia mencerminkan perubahan dalam cara Tebing Barat ditadbir — daripada sebuah wilayah yang diletakkan di bawah pentadbiran ketenteraan sementara kepada wilayah yang semakin diuruskan sebagai sebahagian daripada struktur kedaulatan rejim Israel, tertakluk kepada institusi awam negara dan bukannya kerangka undang-undang pendudukan ketenteraan. 

Perubahan inilah yang menggambarkan perbezaan antara keadaan pengecualian yang berterusan dengan pengilhakan secara de facto, khususnya apabila ia berlaku seiring dengan pengepungan berterusan terhadap beberapa buah rumah warga Palestin di bandar Qusra serta peningkatan serangan oleh kumpulan pendatang haram. Corak tindakan sedemikian semakin dikenali dalam literatur hak asasi manusia sebagai keganasan penempatan haram secara proksi iaitu bentuk keganasan yang berlaku dengan pengurusan atau sokongan negara, tanpa negara tersebut perlu memikul tanggungjawab secara langsung terhadap setiap tindakan yang dilakukan. 

Dimensi Serantau: Gaza dan Permainan Kuasa PascaPerang Iran

Isu Palestin pada hari ini tidak diurus dalam ruang serantau yang terasing tetapi ia berada dalam kerangka keselamatan serantau yang telah mengalami perubahan besar susulan perang Februari 2026 antara pasukan rejim Israel dan AS di satu pihak dengan Iran di pihak yang lain. Sekatan maritim AS yang dikenakan semula terhadap Iran serta ketegangan yang berterusan di Selat Hormuz berlaku serentak dengan peningkatan ketegangan di sempadan Syria–Iraq. Damsyik, bersama-sama Jordan dan Arab Saudi, telah memberi amaran kepada Baghdad bahawa sebarang serangan yang dilancarkan dari wilayah Iraq yang dilancarkan ke arah wilayah mereka akan dibalas dengan serangan langsung, menyasarkan kumpulan-kumpulan bersenjata yang bersekutu dengan Iran di dalam Iraq.

Dari perspektif realisme ofensif John Mearsheimer, perkembangan ini telah mencerminkan logik yang dapat dijangka iaitu kekosongan relatif yang terhasil akibat kelemahan paksi penentangan selepas perang Iran tidak menghasilkan kestabilan. Sebaliknya, keadaan ini mendorong kuasa-kuasa serantau seperti Syria baharu, Jordan dan Arab Saudi untuk mengambil langkah awal bagi mengimbangi pengaruh aktor bukan negara yang bersekutu dengan Iran. Langkah ini didorong oleh kebimbangan bahawa wilayah mereka boleh berubah menjadi medan baharu bagi konflik dan peperangan yang berpanjangan. 

Di sinilah letaknya paradoks strategik bagi isu Palestin. Semakin mendalam perhatian kuasa-kuasa serantau tertumpu kepada usaha mengawal kesan perang Iran serta menyusun semula keseimbangan pencegahan dan tindak balas, semakin tersisih Gaza dan Tebing Barat daripada kedudukan sebagai isu teras kepada sekadar satu lagi fail yang diuruskan dalam kerangka geopolitik serantau yang lebih luas. Dalam keadaan ini, pengurusan isu di Gaza semakin diletakkan di bawah kerangka yang diterajui oleh Trump sendiri melalui BOP dan bukannya melalui suatu proses politik Palestin yang bebas dan penentuan hak sendiri. 

Kesimpulan

Benang merah yang menghubungkan kedua-dua perkembangan di Palestin dan di peringkat serantau adalah kedua-duanya kini semakin tertakluk oleh logik ‘pengurusan’ berbanding logik ‘penyelesaian’.

Di Gaza, tumpuannya adalah kepada pengurusan proses pelucutan senjata dari segi tempoh dan ruang. Di Tebing Barat pula, tumpuannya adalah kepada pengurusan peluasan penempatan melalui instrumen awam yang lebih bersifat kekal. Pada peringkat serantau, tumpuannya adalah kepada pengurusan keseimbangan pencegahan (deterrence) terhadap Iran melalui pakatan-pakatan sementara antara Damsyik, Amman, Riyadh dan Baghdad. 

Dalam kerangka seperti ini, persoalan asas Palestin — siapakah yang memiliki kedaulatan sebenar untuk menentukan keputusan keselamatan dan politik? — terus ditangguhkan. Sebaliknya, ia digantikan dengan aturan yang mengekalkan Gaza di bawah naungan antarabangsa, manakala Tebing Barat pula terus mengalami proses pengilhakan secara beransur-ansur. Pada masa yang sama, susunan serantau di sekeliling Palestin sedang dibentuk semula tanpa Palestin sendiri diberikan ruang sebagai aktor aktif yang mempunyai pengaruh sebenar dalam menentukan aturan tersebut, meskipun Palestin merupakan pihak yang paling berhak menentukannya. 

Naeem Ashraf Mushtaha,
Timbalan Pengarah
PALM Strategic Initiative Centre

Terjemahan oleh Sarah Syuhadah, Lia Maryam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Macklemore Salur AS$1 Juta Hasil Jelajah Ed Sheeran Kepada Palestin 

Next Post

Ketegangan di Baitul Maqdis dan Tebing Barat Semakin Memuncak

Related Posts