WHO Menghentikan Bekalan Bahan Api kepada 20 Hospital di Gaza 

Menurut sumber perubatan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memaklumkan bahawa mereka akan menghentikan bekalan bahan api kepada lebih 20 hospital dan pusat kesihatan di semenanjung Gaza mulai 19 September ini.

Ketua Persatuan Bantuan Perubatan di Gaza, Mohammad Abu Afash berkata WHO secara rasmi memaklumkan lebih 13 hospital dan tujuh pusat kesihatan di Gaza akan diberhentikan pembekalan bahan api yang diperlukan untuk mengendalikan jabatan perubatan serta generator elektrik mereka atas alasan kekurangan dana.

Abu Afash menegaskan bahawa keputusan itu mengancam untuk melumpuhkan sepenuhnya operasi institusi dan pusat kesihatan terbabit. Beliau berkata hospital-hospital ini menyediakan perkhidmatan perubatan dan rawatan secara percuma kepada penduduk Gaza, bergantung pada bekalan bahan api yang disalurkan oleh WHO.

Beliau memberi amaran bahawa penghentian bekalan itu akan menggandakan penderitaan penduduk, khususnya ketika pasaran tempatan mengalami kekurangan bahan api yang serius. Keadaan tersebut, katanya boleh menyebabkan perkhidmatan penting berkaitan nyawa pesakit terpaksa dihentikan sepenuhnya.

Abu Afash turut berkata perkembangan itu mengancam kelangsungan sistem kesihatan awam dan sukarela, ketika Kementerian Kesihatan Gaza sendiri tidak mampu menanggung beban tambahan akibat kekurangan ubat-ubatan, bahan guna habis perubatan dan keperluan asas yang semakin meruncing.

Beliau menggesa WHO melaksanakan tanggungjawab moral dan kemanusiaannya dengan segera menarik balik keputusan tersebut serta tidak menghentikan bekalan diesel atas apa-apa alasan bagi mengelakkan baki sistem kesihatan Gaza daripada runtuh sepenuhnya.

Krisis itu semakin meruncing susulan sekatan ketat yang terus dikenakan oleh pihak rejim Israel terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Menurut sumber berkenaan, tindakan tersebut dilihat sebagai pengabaian terhadap protokol yang diumumkan berkaitan usaha meredakan ketegangan dan perjanjian gencatan senjata.

Sumber: PALM Strategic Initiatives Centre

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tanah Sebagai Instrumen Kuasa Zionis-Israel

Next Post

Syria Yang Bebas dan Jalan Menuju Baitul Maqdis

Related Posts