Kekuatan sesebuah negara lazimnya diukur melalui saiz tenteranya, kemampuan ekonominya, penguasaan teknologi atau jaringan hubungan antarabangsa yang dimilikinya. Namun dalam kes Zionis-Israel, terdapat satu lagi dimensi kuasa yang perlu diberikan perhatian iaitu keupayaan mengawal tanah dan menyusun ruang. Sejarah Israel sejak sebelum 1948 memperlihatkan bahawa penguasaan wilayah tidak pernah menjadi persoalan sampingan. Ia merupakan syarat kepada pembentukan entiti politik Zionis, kemudian berkembang menjadi mekanisme untuk memastikan kuasa tersebut dapat terus diperluas dan dipertahankan terhadap masyarakat Palestin.
Sebab itu kehilangan tanah di Palestin tidak wajar dibaca hanya melalui perubahan warna pada peta. Setiap perubahan sempadan membawa kesan terhadap kepadatan penduduk, hubungan antara bandar dan kampung, akses kepada sumber air, kegiatan pertanian, kebebasan bergerak serta kemampuan sesebuah komuniti untuk berkembang. Apabila sebuah masyarakat tidak lagi mempunyai kuasa menentukan bagaimana tanahnya digunakan, kekuasaan politiknya turut mengecil. Penguasaan ruang akhirnya menentukan siapa yang boleh tinggal, siapa yang boleh berkembang dan siapa yang sentiasa berada dalam keadaan sementara.
Tanah daripada Rampasan kepada Sistem
Proses tersebut dapat dilihat dengan jelas selepas Nakbah 1948. Pengusiran besar-besaran masyarakat Palestin menghasilkan bukan sahaja ratusan ribu pelarian, tetapi juga sejumlah besar tanah, rumah dan harta yang kemudiannya diletakkan di bawah kawalan Israel. Perundangan seperti Absentees’ Property Law 1950 membantu menginstitusikan pemindahan tersebut dengan memberikan kuasa kepada negara untuk mengurus harta mereka yang diklasifikasikan sebagai absentees. Kekerasan yang berlaku semasa perang kemudian memperoleh bentuk yang lebih kekal apabila kesannya diterjemahkan melalui undang-undang, pentadbiran dan sistem pemilikan baharu.
Perkara ini penting kerana sebuah sistem kuasa tidak boleh bergantung selama-lamanya kepada operasi ketenteraan untuk mengawal wilayah. Ketenteraan membuka ruang, manakala institusi menjadikan penguasaan tersebut stabil. Tanah yang telah diambil perlu didaftarkan, diagihkan, dibangunkan dan dihubungkan dengan sistem ekonomi serta pentadbiran. Kampung Palestin yang dikosongkan kemudiannya berada dalam suatu geografi baharu yang semakin sukar dikembalikan kepada keadaan asal kerana di atas ruang yang sama telah muncul penempatan, bandar, jalan raya dan infrastruktur baharu.
Pengalaman selepas perang 1967 memperluas kaedah yang sama ke Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur. Israel tidak perlu memindahkan keseluruhan penduduk Palestin untuk menguasai wilayah tersebut. Penduduk boleh terus berada di tempat mereka sambil kehilangan semakin banyak kuasa terhadap ruang yang diduduki. Tanah boleh diisytiharkan sebagai tanah negara, kawasan latihan tentera atau rizab alam; pembinaan boleh dikawal melalui sistem permit; jalan raya boleh menentukan corak pergerakan; penempatan pula boleh dibina pada lokasi yang mempunyai kepentingan strategik. Gabungan semua mekanisme ini membolehkan struktur wilayah berubah secara beransur-ansur tanpa memerlukan satu tindakan aneksasi besar yang diumumkan secara serentak.
Perjanjian Oslo tidak membongkar struktur tersebut. Pembahagian Tebing Barat kepada Kawasan A, B dan C sepatutnya menjadi aturan sementara dalam proses peralihan politik. Namun Kawasan C, yang merangkumi sekitar 60 peratus Tebing Barat kekal di bawah kawalan Israel dalam urusan keselamatan serta perancangan. Kedudukannya penting kerana kawasan ini mengandungi tanah yang diperlukan untuk pengembangan bandar Palestin, pertanian, sumber alam dan hubungan antara banyak kawasan penempatan penduduk.
Birokrasi sebagai Instrumen Kuasa
Implikasi penguasaan tersebut muncul dalam kehidupan seharian. Apabila sebuah keluarga mahu membina rumah untuk generasi seterusnya, persoalan permit akan menentukan sama ada pembinaan itu dibenarkan. Apabila sebuah kampung mahu menambah tangki air, membangunkan kandang atau membuka jalan pertanian, struktur pentadbiran yang sama kembali menentukan ruang yang boleh digunakan. Keputusan-keputusan yang kelihatan teknikal ini menghasilkan kesan politik apabila ia dilakukan secara berterusan dan tidak seimbang.
Perobohan melengkapkan tekanan tersebut melalui saluran pentadbiran. Sehingga penghujung April 2026, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) merekodkan lebih 620 penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal akibat perobohan kerana ketiadaan permit pada tahun tersebut, dengan purata bulanan tertinggi sejak rekod organisasi itu bermula pada 2009. Permit pembinaan di Kawasan C dan Baitul Maqdis Timur pula digambarkan sebagai amat sukar diperoleh oleh penduduk Palestin.
Sasaran perobohan juga tidak terhad kepada rumah. Sehingga awal Jun 2026, sekitar 71 peratus daripada kira-kira 440 struktur yang dirobohkan di Kawasan C atas alasan ketiadaan permit terdiri daripada struktur pertanian, kemudahan mata pencarian, air atau sanitasi. Angka ini penting kerana kemampuan sebuah keluarga kekal di sesuatu kawasan bergantung kepada lebih daripada tempat tinggal. Mereka memerlukan telaga, kandang, kebun, jalan pertanian, gudang, sumber elektrik dan peluang memperoleh pendapatan. Apabila unsur-unsur ini disingkirkan satu demi satu, kemampuan masyarakat untuk mempertahankan kehadiran mereka turut terhakis.
Namun tekanan terhadap ruang tidak semestinya menghasilkan pengunduran tanpa tentangan. Dalam banyak komuniti Palestin, kekal berada di atas tanah sendiri telah menjadi sebahagian daripada bentuk perlawanan. Struktur yang dirobohkan dibina semula, tanah terus diusahakan walaupun akses dibatasi, dokumen pemilikan dikumpulkan dan pertikaian dibawa ke mahkamah serta institusi antarabangsa. Sumud dalam konteks ini bukan sekadar ketahanan psikologi atau slogan moral, tetapi usaha mempertahankan kehadiran fizikal dalam ruang yang sedang diperebutkan. Pertarungan terhadap tanah berlaku pada dua arah yang bertentangan: Satu pihak berusaha mengecilkan ruang kehidupan Palestin, sementara masyarakat yang terkesan berusaha memastikan ruang tersebut tidak dikosongkan.
Perkembangan pada 2026 menunjukkan bahawa proses penguasaan tanah semakin bergerak masuk ke lapisan undang-undang yang lebih mendalam. Pada Februari, kerajaan Israel memutuskan untuk meneruskan kembali proses pendaftaran tanah di Kawasan C, satu proses yang telah terhenti sejak pendudukan bermula pada 1967. Pada Mei, pihak berkuasa Israel melancarkan platform untuk mengemukakan dan memproses tuntutan pendaftaran tanah tersebut. Pemohon dikehendaki membuktikan hak mereka kepada institusi Israel, sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa proses itu boleh membawa kepada kehilangan hak milik Palestin dan memperluaskan kawalan Israel terhadap tanah di Kawasan C.
Perubahan ini memperlihatkan bagaimana wilayah yang pada awalnya dikawal melalui pemerintahan tentera semakin diserap melalui struktur pentadbiran awam, sistem perancangan dan pendaftaran pemilikan. Penguasaan yang pada satu tahap bergantung kepada tentera kemudian diperkukuh melalui institusi yang menjadikan hubungan kuasa tersebut lebih sukar diterbalikkan.
Penempatan, Infrastruktur dan Fragmentasi Ruang
Data semasa memperlihatkan bahawa peluasan penempatan terus dipercepatkan. Peace Now merekodkan bahawa sepanjang 2025, kerajaan Israel meluluskan penubuhan 54 penempatan rasmi baharu di Tebing Barat dan memajukan rancangan bagi 27,941 unit perumahan. Dalam tempoh yang sama, 86 pos penempatan baharu turut didirikan, termasuk puluhan ladang penggembalaan yang mampu menguasai kawasan jauh lebih luas berbanding ruang fizikal penempatannya sendiri. Hampir semua penempatan baharu yang diluluskan terletak jauh di dalam Tebing Barat.
Angka tersebut perlu dibaca melalui kesannya terhadap struktur ruang. Sebuah penempatan memerlukan jalan, bekalan elektrik, air, keselamatan, kawasan pentadbiran dan hubungan dengan penempatan lain atau wilayah Israel. Apabila jaringan ini dibina, kehadiran beberapa ratus atau beberapa ribu penduduk menghasilkan kawalan terhadap kawasan yang jauh lebih besar. Penempatan akhirnya menjadi nod kepada suatu sistem geografi yang menghubungkan penduduk Israel antara satu sama lain sambil mengecilkan ruang yang boleh digunakan secara bebas oleh masyarakat Palestin.
Kawasan E1 di sebelah timur Baitul Maqdis memberikan contoh yang cukup jelas. Pada Ogos 2025, rancangan pembinaan 3,401 unit perumahan di kawasan tersebut menerima kelulusan akhir selepas berdekad-dekad tertangguh. Kedudukan E1 menjadikannya jauh lebih penting daripada jumlah rumah yang mahu dibina kerana kawasan tersebut menghubungkan Ma’ale Adumim dengan Baitul Maqdis, sementara pembangunan berskala besar di sana memberi kesan langsung terhadap kesinambungan wilayah Palestin antara bahagian utara dan selatan Tebing Barat.
Perkembangan ini turut memperlihatkan kontradiksi besar dalam diplomasi antarabangsa. Penyelesaian dua negara terus diulang, khususnya oleh negara-negara Barat sebagai formula rasmi bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel, sedangkan peluasan penempatan dan projek seperti E1 secara beransur-ansur menghakis prasyarat geografi yang diperlukan untuk menjadikan sebuah negara Palestin benar-benar berdaya hidup. Sebuah negara boleh diiktiraf di atas kertas, tetapi pengiktirafan itu kehilangan makna sekiranya wilayahnya terputus-putus, pergerakannya bergantung kepada pihak lain dan ruang untuk perkembangan demografi serta ekonominya terus dikawal.
Konsep kesinambungan wilayah ini sering tenggelam apabila perbincangan tentang Palestin terlalu tertumpu kepada jumlah keluasan tanah yang masih berada di tangan Palestin. Sebuah wilayah boleh kelihatan besar di atas peta tetapi tetap kehilangan kemampuan berfungsi sebagai ruang politik sekiranya ia dipecahkan oleh penempatan, jalan, pos kawalan dan zon yang tidak boleh digunakan penduduknya. Sebuah entiti politik yang berdaulat memerlukan wilayah yang membolehkan penduduk, ekonomi, pentadbiran dan infrastrukturnya berhubung tanpa bergantung kepada kebenaran kuasa lain.
Atas sebab itu, kawalan pergerakan mempunyai hubungan langsung dengan penguasaan tanah. Sebuah jalan yang dikhususkan atau dikawal bukan sekadar kemudahan pengangkutan. Kedudukannya boleh menentukan sama ada petani mudah sampai ke kebun, sama ada penduduk sebuah kampung boleh bergerak terus ke bandar berdekatan atau perlu melalui perjalanan panjang dan sama ada satu kawasan Palestin mempunyai hubungan yang munasabah dengan kawasan lain. Kuasa terhadap ruang kemudian bergerak daripada persoalan pemilikan kepada persoalan akses.
Keganasan pendatang haram turut mempunyai dimensi wilayah yang serupa. Serangan terhadap komuniti penggembala, kebun, ternakan, tangki air dan rumah mempunyai kesan yang lebih besar apabila dilakukan secara berulang sehingga kehidupan di sesuatu kawasan menjadi semakin sukar. OCHA mencatatkan bahawa sehingga akhir Julai 2026, lebih 1,380 insiden berkaitan pendatang haram telah berlaku sejak awal tahun, melibatkan lebih 250 komuniti Palestin. Dalam tempoh yang sama, lebih 2,300 penduduk Palestin dipindahkan akibat serangan pendatang haram dan sekatan akses yang berkaitan dengannya.
Perpindahan seperti ini mengubah realiti wilayah tanpa memerlukan perintah rasmi untuk mengusir keseluruhan sesebuah kampung. Apabila keluarga kehilangan akses kepada padang ragut, air, sekolah atau jalan keluar masuk; apabila serangan berulang menjadikan aktiviti ekonomi tidak lagi selamat; dan apabila sebuah pos peneroka muncul berhampiran rumah mereka, kos untuk terus menetap semakin meningkat. Tekanan terhadap kehidupan harian kemudian menghasilkan pengunduran penduduk dari ruang yang telah mereka duduki dan gunakan untuk tempoh yang panjang.
Aneksasi Tanpa Pengisytiharan
Mahkamah Keadilan Antarabangsa dalam pandangan nasihatnya pada Julai 2024 turut membaca perkembangan ini melalui kerangka kawalan kekal. Mahkamah menilai bahawa peluasan penempatan, pembinaan infrastrukturnya, tembok, eksploitasi sumber alam serta penerapan undang-undang Israel telah memperkukuh kawalan terhadap wilayah Palestin, khususnya Baitul Maqdis Timur dan Kawasan C. Menurut Mahkamah, dasar tersebut direka untuk kekal dan menghasilkan kesan yang sukar diterbalikkan sehingga membentuk aneksasi terhadap sebahagian besar wilayah Palestin yang diduduki.
Penilaian tersebut membantu menjelaskan mengapa persoalan tanah mesti diberikan tempat utama dalam analisis mengenai kekuasaan Zionis-Israel. Tentera tetap penting kerana ia menyediakan kemampuan memaksakan susunan tersebut, tetapi kawalan yang lebih berkesan lahir apabila hasil kekerasan dapat diterjemahkan menjadi institusi dan realiti fizikal. Sebuah bukit yang diduduki pendatang haram kemudian mempunyai jalan. Jalan membawa infrastruktur. Infrastruktur memerlukan perlindungan keselamatan. Kawasan keselamatan mengehadkan pergerakan penduduk Palestin. Selepas beberapa tahun, keseluruhan susunan itu kelihatan sebagai sebahagian daripada landskap biasa walaupun asalnya terbentuk melalui pengambilalihan ruang.
Kelebihan strategi seperti ini ialah perubahan boleh dilakukan secara bertahap. Tiada satu peristiwa tunggal yang perlu menjadi penamat kepada persoalan Palestin. Setiap tahun menambah beberapa penempatan, beberapa jalan, beberapa pos haram, beberapa kawasan yang kehilangan akses dan beberapa komuniti yang terpaksa berpindah. Apabila proses tersebut berlangsung selama puluhan tahun, kesan kumulatifnya jauh lebih besar daripada setiap keputusan pentadbiran yang dilihat secara berasingan.
Hubungan antara tanah dengan kelangsungan kuasa Zionis-Israel terletak pada kemampuan penguasaan wilayah untuk menghasilkan kesan politik yang berpanjangan. Ia memberi ruang kepada pertambahan penduduk peneroka, memecahkan hubungan antara komuniti Palestin, mengawal sumber ekonomi dan mengehadkan kemungkinan kemunculan struktur politik Palestin yang benar-benar berdaulat. Selagi Israel mempunyai kuasa menentukan siapa boleh membina, bergerak, bercucuk tanam, mendaftarkan pemilikan dan membangunkan infrastruktur di wilayah yang didudukinya, ketidakseimbangan kuasa akan terus dihasilkan daripada geografi itu sendiri.
Perebutan Palestin kerana itu tidak dapat dipisahkan daripada perebutan terhadap ruang. Kehilangan tanah membawa bersamanya kehilangan kemampuan untuk membina masyarakat, ekonomi dan struktur politik secara bebas. Projek Zionis memahami kepentingan ini sejak awal pembentukannya, lalu menjadikan penguasaan tanah sebagai salah satu asas terpenting dalam pembinaan dan pemeliharaan kuasa. Apa yang bermula sebagai usaha mendapatkan wilayah akhirnya berkembang menjadi sistem yang menggabungkan ketenteraan, penempatan, undang-undang, birokrasi dan infrastruktur untuk menentukan siapa yang mempunyai ruang untuk berkembang dan siapa yang terus dipaksa hidup dalam ruang yang semakin mengecil.
Disediakan oleh: Syahmi Afiq, penulis, penyunting dan pemerhati Palestin serta Asia Barat. Penulisannya banyak menumpukan kepada Zionisme, Baitul Maqdis, gerakan pembebasan dan perubahan politik serantau. Juga merupakan penulis buku Zionisme: Daripada Idea Menjadi Kuasa
Rujukan
International Court of Justice. Legal Consequences arising from the Policies and Practices of Israel in the Occupied Palestinian Territory, including East Jerusalem. Advisory Opinion, 19 July 2024.
Peace Now. “Summary of a Year of Terror, Expulsion, and Annexation — 2025 in the Settlements.” 3 February 2026.
Peace Now. “Hearing on Final Approval to the E1 Plan and Advancing a Total of 3,753 Housing Units in the West Bank.” 18 August 2025.
United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA). Humanitarian Situation Report | 1 May 2026. 2 May 2026.
United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA). Humanitarian Situation Report | 5 June 2026. June 2026.
United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA). Humanitarian Situation Report | 31 July 2026. 31 July 2026.
United Nations Secretary-General. Implementation of Security Council Resolution 2334 (2016): Report of the Secretary-General. 24 June 2026.