Kekurangan Kritikal Peralatan dan Bekalan Perubatan Jejas Diagnosis Pesakit di Gaza

Kekurangan bekalan perubatan, kerosakan peralatan dan kemusnahan infrastruktur kesihatan menyebabkan barisan doktor di Gaza berdepan kesukaran untuk mendiagnosis serta memantau keadaan pesakit, khususnya mereka yang memerlukan rawatan segera.

Di Hospital Syuhada al-Aqsa di tengah Gaza, Pengarah Jabatan Makmal, Bassem Hassan berkata keputusan ujian perubatan amat penting bagi membantu doktor menentukan diagnosis, dos ubat dan rawatan yang sesuai kepada pesakit. Namun, kekurangan bahan serta kerosakan peralatan akibat perang dan kepungan Israel telah menjejaskan keupayaan makmal untuk menjalankan ujian yang diperlukan.

Antara perkhidmatan yang terjejas adalah ujian gas darah yang penting bagi pesakit jantung dan rawatan rapi. Bekalan tiub pengambilan darah untuk ujian kimia klinikal turut berkurangan, manakala mesin penganalisis kimia klinikal automatik yang digunakan untuk lebih 60% ujian makmal tidak lagi beroperasi. Sebahagian peralatan pensterilan dan peti sejuk untuk menyimpan darah serta plasma juga telah rosak.

Menurut Hassan, dalam keadaan sumber yang terhad, ujian terpaksa diberi keutamaan berdasarkan tahap keseriusan pesakit, khususnya mereka yang menghidap penyakit buah pinggang, kanser dan jantung serta pesakit di unit rawatan rapi.

Kekangan ini turut memberi kesan kepada perkhidmatan pengimejan perubatan. Lebih tiga perempat peralatan pengimejan perubatan di Gaza dilaporkan tidak lagi berfungsi, manakala hanya lima daripada 18 mesin imbasan Tomografi Berkomputer (CT) masih boleh digunakan. Perkhidmatan pengimejan resonans magnetik (MRI) pula tidak lagi tersedia selepas sembilan mesin musnah dalam serangan Israel.

Pengarah Hospital al-Shifa di bandar Gaza, Mohammed Abu Salmiya berkata keadaan tersebut memaksa pasukan perubatan mengehadkan ujian makmal, X-ray dan imbasan CT kepada kes yang paling kritikal.

“Keadaan ini memaksa doktor membuat pilihan yang sukar antara pesakit, dengan menentukan siapa yang memerlukan ujian dengan segera dan siapa yang ujiannya boleh ditangguhkan,” katanya.

Kelewatan diagnosis turut memberi kesan kepada pesakit yang memerlukan rawatan berterusan. Antaranya adalah pesakit yang menghadapi kegagalan buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis beberapa kali seminggu.

Yousef al-Athamneh, 57, dari Deir el-Balah, berkata beliau bimbang kekurangan bekalan seperti bikarbonat, saluran darah, mesin dialisis dan cecair intravena akan menjejaskan rawatan yang diperlukan untuk meneruskan kehidupannya.

Dalam masa sama, pesakit kanser turut berdepan kekurangan ubat kemoterapi dan ubat-ubatan lain. Kemusnahan Hospital Persahabatan Turkiye-Palestin yang sebelum ini merupakan satu-satunya hospital khusus untuk rawatan kanser di Gaza, turut meningkatkan tekanan terhadap sistem kesihatan.

Beliau menegaskan bahawa bekalan ubat, peralatan dan bahan perubatan perlu dipastikan tersedia bagi mengelakkan kekurangan bekalan menjadi punca kematian yang sebenarnya boleh dicegah.

Sumber: Al Jazeera

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

“Aku Akan Pastikan Kamu Dihukum Mati”: Ben-Gvir Ugut Tahanan Palestin Dalam Sel Penjara

Next Post

8 Syahid, Beberapa Lagi Cedera Akibat Serangan Berterusan Rejim Israel

Related Posts