Pada 7 Ogos 2026 yang lalu, dunia geopolitik antarabangsa telah menyaksikan satu detik bersejarah apabila tiga buah negara iaitu Turkiye, Arab Saudi dan Pakistan secara rasminya menandatangani satu perjanjian keselamatan yang kini hangat digelar sebagai Mecca Pact (Perjanjian Makkah).
Di saat ketegangan di rantau Asia Barat sedang memuncak — lebih-lebih lagi dengan tercetusnya peperangan yang melibatkan paksi Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2026, kemunculan pakatan terbaharu ini menimbulkan satu persoalan besar di pentas global. Adakah ini sebuah pakatan yang bakal menamatkan keangkuhan Israel atau ia sekadar satu lagi retorik politik di atas kertas?
Pembentukan Mecca Pact ini lahir daripada satu realiti yang terpaksa ditelan oleh negara-negara Islam: Kuasa-kuasa luar kini semakin lemah dan tidak lagi boleh diharap seratus peratus. Ketiga-tiga buah negara ini sedar bahawa mereka perlu mula berdikari, saling melengkapi antara satu sama lain dan yang paling penting, mempelbagaikan rakan perkongsian pertahanan mereka (diversify defence partnership).
Lokasi tandatangan perjanjian itu sendiri bukanlah satu kebetulan. Memilih kota suci Makkah adalah satu bentuk taktik pencegahan (deterrence) yang membawa mesej yang sangat kuat dan jelas. Mesej pertamanya ialah keseriusan. Mereka mahu memberitahu dunia bahawa ini bukan main-main. Ia adalah langkah pertama ke arah proses institusionalisasi sebuah rangka kerja serantau yang serba baharu.
Lebih menarik, sifat pakatan ini direka bentuk supaya sangat defensif dan fleksibel. Ia bukanlah sebuah pakatan sektarian yang berfikiran sempit dan ia juga bukanlah sekadar ‘NATO versi tempatan’. Sebaliknya, ia berfungsi sebagai tempat untuk berunding secara rasmi dan mencegah ancaman bersama. Pakatan ini juga memberi isyarat bahawa era melayan kerenah proksi atau proksi bersenjata (non-state actors) sudah tamat. Kini, segala urusan akan dilakukan secara state-to-state (negara dengan negara).
Namun, intipati paling panas dalam perjanjian ini adalah semangatnya yang mirip kepada Artikel 5 dalam pakatan NATO—iaitu serangan ke atas salah satu daripada tiga negara ini akan dianggap sebagai serangan ke atas kesemuanya.
Keresahan Di Tel Aviv: Ancaman Paksi Sunni
Sebaik sahaja dakwat kering di atas kertas perjanjian ini, denyut nadi di Tel Aviv mula berdegup laju. Keresahan dan kepanikan mula melanda kem politik dan ketenteraan Israel, mereka ada sebab yang kukuh untuk rasa begitu.
Mecca Pact dilihat sebagai satu langkah strategik untuk mengimbangi kuasa pakatan Hexagon Alliance. Gabungan ketiga-tiga negara ini membentuk apa yang disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai Paksi Sunni. Cuba bayangkan gabungan ini: Turkiye dengan kelengkapan teknologi dan ketenteraan moden, Pakistan dengan kuasa nuklear serta tenaga tentera darat yang besar dan disokong pula oleh dana kewangan Arab Saudi yang seolah-olah tiada batasan.
Bagi Israel, pakatan ini berpotensi besar untuk mengambil alih tempat Iran sebagai musuh utama mereka. Malah, gabungan sumber daripada tiga negara berdaulat ini dilihat jauh lebih berbahaya, terurus dan sukar dijangka berbanding berdepan dengan Iran dan proksi-proksinya.
Bukan Israel sahaja yang tidak senang duduk, malah Iran sendiri dilaporkan tidak gembira dengan wujudnya Mecca Pact ini. Perang yang melibatkan Iran sebelum ini merupakan antara faktor utama yang memaksa Turkiye, Arab Saudi dan Pakistan bersatu. Dalam bahasa mudah, pakatan ini juga bertindak sebagai amaran keras kepada Tehran dan proksi-proksinya di rantau tersebut.
Kesan Domino Kepada Hubungan Diplomatik: India & Greece Mula Melenting
Dalam dunia diplomasi antarabangsa, setiap tindakan pasti mengundang kesan. Penyatuan blok baharu ini secara tidak langsung telah menyebabkan sekutu-sekutu Israel mula merapatkan saf sesama mereka, terutamanya melibatkan negara India dan Greece.
Greece kini mula dihantui rasa bimbang apabila melihat kemungkinan wujudnya kerjasama ketenteraan maritim antara Turkiye dan Pakistan di perairan Laut Mediterranean. Di blok Asia pula, India sedang berang dengan kelantangan dan sokongan Turkiye terhadap Pakistan, lebih-lebih lagi melibatkan isu sensitif serantau seperti isu wilayah Kashmir. Secara tidak langsung, blok baharu yang terbentuk ini telah mengeruhkan lagi hubungan sedia ada dan memaksa India serta Greece mencari perlindungan dan pengaruh tambahan.
Persoalan paling kritikal yang dibangkitkan oleh penganalisis seperti Kamal Alam adalah mengenai harapan yang realistik. Di atas kertas kelihatan gah, tetapi persoalannya: Bagaimana mereka mahu menjadikan pakatan ini ke arah sebuah rangka kerja operasi yang betul-betul berfungsi?
Adakah ketiga-tiga buah negara ini sanggup berjuang bahu ke bahu di medan perang? Menyatukan tiga ketenteraan yang sangat berbeza ini perlukan masa yang amat lama. Terdapat beberapa halangan praktikal dan birokrasi yang sangat besar:
Realitinya, ketiga-tiga negara ini masih sangat bergantung kepada bekalan dan kelengkapan senjata dari Amerika Syarikat. Washington pastinya memantau perkembangan pakatan ini. Kita pernah melihat sejarah pada tahun 2022 apabila Washington dengan mudahnya campur tangan dan membatalkan urus niaga helikopter antara Turkiye dan Pakistan. Washington mempunyai kuasa besar untuk melumpuhkan operasi logistik mereka bila-bila masa.
Ketiga-tiga negara mempunyai masalah yang tersendiri. Arab Saudi terpaksa fokus pada ancaman dron, peluru berpandu, krisis di Teluk, Laut Merah dan isu Yaman. Turkiye pula sibuk dengan isu keganasan, keselamatan di sempadan Syria, konflik di Laut Mediterranean Timur, isu Laut Hitam, dan komitmen sedia ada mereka di dalam NATO. Sementara itu, tumpuan Pakistan sudah semestinya terikat di Asia Selatan, menghadap musuh tradisi mereka, India. Kepelbagaian bentuk ancaman ini menimbulkan persoalan, bagaimana mereka mahu menetapkan piawaian tindak balas jika darurat berlaku? Adakah operasi harian memerlukan kesepakatan yang mutlak (consensus)?
Kepentingan ekonomi nasional selalunya akan mengatasi sentimen pakatan politik. Adakah Arab Saudi akan membuta-tuli menyebelahi Turkiye untuk menentang India? Mustahil, kerana India merupakan salah satu rakan dagang ekonomi utama buat Riyadh. Lebih ironi lagi, tahukah anda bahawa sistem pertahanan udara Arab Saudi pada masa ini dikendalikan oleh tentera Greece? Bagaimana Saudi mahu bermusuh dengan Greece jika kunci kepada ruang udara mereka dipegang oleh tentera negara itu?
Perjanjian ini perlu diperhalusi secara teknikal. Apa yang diklasifikasikan sebagai serangan? Adakah serangan siber, serangan melalui proksi, sabotaj atau sekatan maritim akan mencetuskan tindak balas kolektif? Dan apakah bentuk bantuan yang akan dihulurkan—adakah sekadar bantuan perisikan, logistik, pertahanan udara atau betul-betul melibatkan campur tangan tindakan ketenteraan fizikal? Malah, perjanjian ini juga dilaporkan tidak merangkumi sebarang perlindungan atau dimensi di bawah payung nuklear.
Namun, tidak mustahil pakatan ini akan berkembang. Sememangnya ada potensi negara-negara di bawah Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang lain akan mula menyertai pakatan ini pada masa akan datang, memandangkan terdapat perbincangan mengenai proses penyertaan (accession process), piawaian dan prosedur bagi membenarkan negara luar menyertainya.
Kesimpulan
Jika kita menyingkap lipatan sejarah pada tahun 2017, dunia Islam pernah meraikan pembentukan Islamic Military Counter Terrorism Coalition (IMCTC) yang megah digelar sebagai Muslim NATO. Ia disambut dengan sangat meriah, namun akhirnya pakatan tersebut tidak pernah melancarkan atau melibatkan sebarang operasi tempur yang berskala besar.
Berdasarkan situasi semasa, Mecca Pact masih terlalu awal untuk diangkat sebagai sebuah jentera perang gabungan yang mampu meranapkan musuh di medan tempur. Buat masa ini, pakatan ini lebih tepat disimpulkan sebagai satu simbolik, langkah diplomasi untuk menunjukkan kesatuan, meningkatkan kuasa tawar-menawar (bargaining power) dan memberi amaran kepada entiti luar.
Sama ada pakatan ini benar-benar menjadi malapetaka buat Israel atau sekadar dokumen rasmi di kota Makkah, hanya masa, kemampuan untuk bertolak ansur dan kehendak politik ketiga-tiga negara ini yang akan menentukannya.
Hasya Hasshim,
Eksekutif Penyelidik dan Advokasi Cinta Gaza Malaysia