Yayasan Antarabangsa al-Quds dalam kenyataan pada Isnin, 14 September 2026, memberi amaran mengenai bahaya pencerobohan pertama pendatang haram Israel ke Masjid al-Aqsa pada Ahad, 13 September yang menandakan bermulanya musim pencerobohan panjang dan lazimnya memuncak setiap tahun.
Dalam kenyataan yang diterima agensi Shehab, yayasan itu berkata seramai 593 pendatang haram Israel menceroboh Masjid al-Aqsa pada hari yang biasanya menyaksikan ritual meniup trompet atau dikenali sebagai shofar. Keadaan itu berlaku ketika tiada gambaran langsung dari dalam masjid, sekali gus mendedahkan kegagalan ketara dunia Arab dan Islam untuk mengetahui perkembangan serangan, melindungi serta mempertahankan Masjid al-Aqsa.
Yayasan itu menjelaskan bahawa kegagalan berkenaan berpunca daripada dasar penutupan maklumat secara menyeluruh yang dilaksanakan Israel secara berperingkat. Dasar tersebut bermula dengan tindakan menyasarkan pengawal masjid melalui pengusiran, penahanan dan perobohan rumah, selain membiarkan mereka tanpa perlindungan politik.
Ia kemudiannya disusuli pekeliling Pengarah Wakaf Baitul Maqdis bertarikh 28 Julai 2020 yang melarang pengarah serta kakitangan wakaf daripada memberikan kenyataan atau menerbitkan bahan kepada media tanpa kelulusan terlebih dahulu. Menurut yayasan itu, dasar tersebut melemahkan kedudukan wakaf Islam dalam menghadapi usaha Zionis untuk menghapuskannya.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa dasar menghalang para murabit dan jemaah daripada berada di laluan penceroboh telah bermula sejak 2023 dan semakin memburuk ketika perang genosid di Gaza. Keadaan itu turut disertai tindakan intimidasi, perluasan pengusiran, kepungan serta pengetatan sekatan dan rondaan.
Menurut yayasan itu, penutupan maklumat mencapai kemuncaknya apabila Israel mengharamkan platform media Baitul Maqdis, serentak dengan persiapan untuk melaksanakan penutupan Masjid al-Aqsa selama 40 hari ketika serangan Israel-Amerika terhadap Iran. Tindakan itu melumpuhkan usaha mendokumentasikan serangan dan membolehkan pendatang haram Israel menguasai penyebaran gambaran melalui platform mereka sendiri.
Yayasan berkenaan menyeru wakaf Islam di Baitul Maqdis serta kerajaan Jordan supaya bertindak terhadap usaha sistematik Israel untuk melumpuhkan fungsi wakaf, khususnya dalam menyampaikan gambaran mengenai keadaan di Masjid al-Aqsa kepada umat Islam dan dunia. Menurutnya, tindakan itu bertujuan menghapuskan keabsahan wakaf sebagai persediaan untuk mengenakan pentadbiran rejim Israel ke atas masjid berkenaan.
Yayasan itu turut menyeru para murabit, penduduk Baitul Maqdis dan Palestin yang diduduki sejak 1948 supaya terus mengunjungi Masjid al-Aqsa. Jika dihalang daripada memasuki masjid, mereka digesa menunaikan solat di hadapan pintu masuknya serta terus menyampaikan gambaran mengenai keadaan di dalam dan sekitar masjid.
Selain itu, media Palestin, Arab dan Islam, wartawan serta aktivis diseru melancarkan kempen besar-besaran bagi mengetengahkan Masjid al-Aqsa dan ancaman terhadapnya sepanjang musim serangan semasa sehingga Sabtu, 3 Oktober 2026 bagi memecahkan kepungan serta penutupan maklumat yang dikenakan terhadap masjid dan para murabit.
Sumber: Shehab News