Situasi di selatan Lubnan semakin meruncing apabila Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) diarahkan untuk mula berundur pada 31 Disember 2026 oleh Majlis Keselamatan PBB (UNSC). Boleh dikatakan inilah kemuncak kepada konflik Lubnan-Israel susulan daripada serangan balas Hizbullah ke atas Israel akibat kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada 28 Februari 2026.
Bagaimanapun, pengunduran UNIFIL tiada kaitan secara langsung dengan perang Hizbullah-Israel kerana gesaan PBB ini adalah satu tindak balas terhadap peningkatan pertembungan di antara Hizbullah dan Israel. Sebaliknya, situasi antara Hizbullah-Israel sepanjang tahun ini mengeruhkan kebimbangan PBB kerana pengunduran UNIFIL akan menjadi lebih rumit dan berisiko. Pada masa yang sama, perlucutan kuasa UNIFIL mungkin akan dilihat sebagai penamatan sebuah misi pengaman. Namun, ia juga boleh difahami sebagai sebuah ujian kemampuan negara Lubnan untuk mengambil semula kawalan keselamatan di selatan tanpa mewujudkan kelompongan yang berpotensi menjadi ruang penjajahan Israel, konflik bersenjata ke skala baharu atau campur tangan kuasa asing. Oleh sebab itu, Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam menyeru pembentukan pasukan antarabangsa baharu demi mengekalkan keselamatan di sempadan selepas UNIFIL berundur kelak. Menurutnya lagi, Beirut sudah mula mengusahakan inisiatif untuk menampung kelompongan UNIFIL di kawasan tersebut.
UNIFIL di Selatan Lubnan – Kenapa?
Hampir lima dekad di selatan Lubnan, UNIFIL kini sedang menuju tarikh tamat tempoh sebelum berundur sepenuhnya dalam masa setahun. Sejak Resolusi 2790 diterima, masih belum jelas pihak mana yang akan mengambil alih fungsi pemantauan, pelaporan dan perhubungan keselamatan di selatan Lubnan.
UNIFIL tidak ditubuhkan pada 19 Mac 1978 hanya untuk memantau keselamatan di selatan Lubnan. Sejak wujudnya Garis Biru pada 2000, UNIFIL bertanggungjawab untuk membuat kawalan di Garis Biru, melaporkan keganasan dan memainkan peranan sebagai penampan diantara kumpulan pertahanan Lubnan (seperti Hizbullah) dan Israel.
Jika ditanya adakah penubuhan UNIFIL ditubuhkan kerana keganasan Israel ke atas Lubnan?
Jawapannya, ya.
Penubuhan UNIFIL boleh ditelusuri seawal 14 Mac 1978 apabila Israel menyerang dan menceroboh selatan Lubnan dalam Operasi Litani. Serangan tersebut merupakan tindak balas pembunuhan 35 orang rakyat haram Israel oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pada 11 Mac 1978 di Lebuh Raya Pantai Israel. Susulan daripada insiden tersebut, Amerika Syarikat (AS) mengusulkan Resolusi 425 dan 426 sebagai usaha mengekang kemaraan Israel memasuki kawasan Lubnan dan memenuhi kehendak pentadbiran Lubnan untuk meletakkan pasukan keselamatan interim di selatan Lubnan bagi memastikan pengunduran rejim Israel.
Bagaimanapun, pengunduran tidak berlaku sepenuhnya. Serangan dilancarkan sekali lagi pada 1982 apabila Israel mengenalpasti cubaan membunuh duta Israel ke United Kingdom (UK), Shlomo Argov oleh Pertubuhan Abu Nidal – gerakan yang ditubuhkan selepas sebahagian ahlinya keluar PLO. Serangan tersebut difahamkan tidak hanya menyasarkan Pertubuhan Abu Nidal, tetapi turut melibatkan PLO. Disebabkan itu, PLO melancarkan serangan udara ke utara Israel dan Israel bertindak menceroboh selatan Lubnan melalui laluan darat pada 6 Jun 1982 sehingga berjaya mengepung barat Beirut.
| Sebagai rekod, selepas konflik Black September pada awal 1970-an di Jordan, kepimpinan dan anggota PLO mengukuhkan lagi pemusatan operasi mereka di Lubnan. Mereka telah membangunkan pangkalan politik dan ketenteraan, serta melancarkan beberapa serangan terhadap Israel. Di sini, bermulalah pertembungan kumpulan bersenjata antara Lubnan, Palestin, Israel dan Syria – dikenali sebagai Perang Saudara Lubnan. Ia berlanjutan sehingga 15 tahun (bermula 1975-1990). |
Kesannya – PLO terpaksa meninggalkan Lubnan pada Ogos 1982 dan Yasser Arafat bersama kepimpinannya berpindah ke Tunisia. Kelompongan tersebut membuka ruang kepada pembentukan kerajaan Lubnan yang mesra Israel sehingga mendorong kemunculan pendudukan haram Israel di selatan Lubnan. Bermula 1985, Israel mengekalkan zon keselamatan bersama tentera selatan Lubnan. Difahamkan pendudukan tersebut berterusan sehingga pengunduran Israel pada 2000. Inilah titik mulanya peranan UNIFIL dalam memantau Garis Biru bagi menentukan sama ada tuntutan pengunduran tentera Israel dalam Resolusi 425 dipenuhi atau sebaliknya. Pada 2006, peranan UNIFIL di Garis Biru diperkukuh selepas berlaku peperangan di antara Hizbullah dengan Israel.
UNIFIL Undur, Meninggalkan Kekosongan dan Peluang
Tidakkah dengan pengunduran UNIFIL, kejadian Operasi Litani atau Peristiwa Sabra dan Shatilla berpotensi untuk berulang lagi? Tidak perlu pergi jauh, pada tahun 2026 sahaja sudah cukup ngeri untuk penduduk Lubnan apabila bahagian selatan telah diduduki Israel; Beirut dan utara Lubnan diserang sehingga menyebabkan penduduk Lubnan tersepit untuk menyelamatkan diri. Lebih parah, kerajaan Lubnan kini sedang bersiap sedia dengan segala usaha untuk mengekang penjualan hartanah di selatan Lubnan seperti yang digerakkan oleh gerakan penempatan Israel, Uri Tzafon. Kekosongan kediaman dan tanah yang dibiarkan kerana penduduk selatan Lubnan menyelamatkan diri ke daerah lain membuka ruang untuk penjajahan haram Israel dengan kos satu plot tanah sebanya 300,000 shekel (RM398,906.85).
Hal ini bermakna, tentera Israel masih menguasai atau berada di beberapa kawasan selatan Lubnan dan ini menyukarkan penduduk Lubnan untuk pulang ke kediaman masing-masing. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Famine Early Warning Systems Network (FEWS NET), seramai 341,228 rakyat Lubnan masih berada di pusat pemindahan. Mereka yang berstatus internally displaced person (IDP) ini berasal dari daerah Bent Jbeil, Marjaayoun, Nabatieh, selatan Tyre, Saida, Baabda dan Beirut.
Ketika isu Lubnan semakin meruncing akibat pencerobohan tentera Israel, pertikaian mengenai pelucutan senjata Hizbullah serta kekangan yang dihadapi tentera Lubnan dari segi dana, peralatan dan anggota, persoalan mengenai kekosongan keselamatan turut menjadi semakin penting.
Kekosongan keselamatan dalam konteks ini bukan bermaksud tiada pasukan bersenjata, tetapi merujuk kepada ketiadaan pihak yang dipersetujui bersama untuk memantau sempadan, khususnya dalam mengesan pelanggaran resolusi, mengesahkan kejadian di lapangan, menjadi perantara antara Lubnan dan Israel, mengawal peningkatan ketegangan antara kedua-dua negara serta memudahkan kemasukan bantuan dan usaha pembaikan infrastruktur.
Sebagai entiti neutral, ketiadaan UNIFIL berpotensi untuk memperbesar kejadian kecil seperti tembakan, pergerakan tentera atau pencerobohan ruang udara. Segala yang dilihat kecil bagi pihak Israel akan dianggap sebagai ancaman, sekali gus mencetuskan tindak balas yang lebih besar. Misalnya, pada 30 September 2026, seramai empat orang termasuk seorang tentera telah cedera dalam sebuah letupan di Nabatieh al-Fawqa. Sedangkan tentera tersebut dikatakan sedang mengiringi tiga orang awam yang ingin melawat kediaman mereka sejak ditinggalkan susulan pencerobohan Israel pada 2 Mac 2026.
Penggantinya: Tentera Lubnan atau Campur Tangan Baharu?
Jika ada pun entiti yang berpotensi ketika ini adalah tentera Lubnan kerana mereka lebih berhak untuk menjaga kedaulatan negara sendiri. Pada masa yang sama, keselamatan Lubnan tidak perlu lagi bergantung kepada pasukan asing, sekali gus berpotensi mengukuhkan prinsip keputusan perang.
Namun, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan.
Pertama, Lubnan dan krisis ekonominya belum ada tanda untuk pulih sejak 2019. Pada tahun itu, difahamkan lira Lubnan kehilangan kira-kira 98% nilainya dan sistem perbankan menjadi tidak solven. Kesannya, pada 2023, sebuah laporan mendedahkan gaji seorang anggota berpangkat rendah yang sebelum ini berjumlah $800 sebulan, merosot kepada sekitar $100. Hal ini mendorong mereka untuk berhenti dan membuat kerja sampingan. Keadaan tentera Lubnan sangat kritikal sehingga UNIFIL sendiri membekalkan makanan, diesel dan bekalan perubatan kepada tentera Lubnan. AS dan Qatar membantu memberikan subsidi gaji. Secara tidak langsung, perkara ini juga menunjukkan bahawa kapasiti untuk tentera Lubnan mempersiapkan senjata, kenderaan, teknologi pengawasan dan logistik sangat rendah.
Kedua, walaupun mereka paling sah untuk mengawal selatan, risiko pertembungan secara langsung dengan tentera Israel tetap ada – adakah kekuatan tentera Lubnan sudah mampan dan adakah mereka bersedia untuk berada di lapangan perang yang sama? Dalam satu laporan pada Mac 2026, tentera Israel dikatakan mengekalkan lima kedudukan dan dua zon penampan di dalam wilayah Lubnan. Pada masa yang sama, tentera Israel berkali-kali menceroboh Garis Biru dan memperluas pencerobohannya melebihi sempadan yang ditetapkan. Jika tersilap percaturan, ia boleh mencetuskan peperangan dalam skala besar, lagi-lagi apabila Lubnan dan Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik secara langsung dan secara teknikalnya, mereka masih dalam status berperang. Selama ini, UNIFIL-lah entiti yang bertanggungjawab sebagai pihak tengah di antara tentera Lubnan dan tentera Israel.
Jadi, siapa yang layak sebenarnya?
Adakah Hizbullah yang digesa untuk melucutkan senjata atau perlunya ada satu pasukan baharu yang benar-benar bertegas dengan pengunduran rejim Israel?
Satu perkara yang perlu ditekankan dalam memilih pengganti UNIFIL, pengunduran rejim Israel berpotensi tinggi untuk gagal sekiranya hanya sebelah pihak sahaja dituntut untuk melucutkan senjata. Begitu juga kehadiran pasukan asing tanpa persetujuan masyarakat, terutama kerajaan dan pihak penentangan Lubnan berhaluan kiri akan menyebabkan tiada perkembangan untuk pembangunan Lubnan atau lebih teruk, krisis di negara itu akan menuju ke kemuncak yang sukar dibendung.
Selepas hampir lima dekad, pengunduran UNIFIL sepatutnya menandakan bahawa Lubnan sudah mampu mengawal seluruh wilayahnya. Namun, selagi tentera Israel masih berada di Lubnan dan bercita-cita untuk menjajah Lubnan, – seperti yang pernah digagaskan oleh mantan Ketua Turus Angkatan Tentera Israel, Moshe Dayan dan mantan Perdana Menteri wilayah haram Israel, David Ben-Gurion – serangan terus berlaku dan tentera Lubnan belum memiliki sumber yang mencukupi, pengunduran UNIFIL berisiko meninggalkan kekosongan yang berbahaya. Penyelesaian paling munasabah pada ketika ini adalah mungkin bukan menggantikan UNIFIL dengan sebuah lagi pasukan asing yang tidak jelas mandatnya, tetapi melaksanakan peralihan secara berperingkat. Tentera Lubnan mengambil alih tanggungjawab keselamatan, sementara mekanisme antarabangsa yang sah meneruskan tugas pemantauan dan perhubungan. Jika difahami isu ini, selatan Lubnan tidak memerlukan pertukaran penjaga semata-mata. Ia memerlukan pengunduran Israel, pemulihan kedaulatan Lubnan dan jaminan bahawa penduduknya tidak lagi hidup di bawah ancaman peperangan.
Ditulis oleh:
Nur Sabrina binti Suhaimi
Eksekutif Penyelidik dan Advokasi
Cinta Gaza Malaysia