Pejabat Media Kerajaan Gaza pada Rabu hari ini mengumumkan bahawa jumlah wartawan yang syahid terbunuh dalam serangan rejim Israel meningkat kepada 263 orang, susulan pengumuman kematian wartawan, Muhammad Abdul Aziz al-Najjar.
Menurut kenyataan pejabat tersebut, Muhammad Abdul Aziz al-Najjar bertugas sebagai pegawai media dan penyampai di Radio al-Quran al-Karim, yang berada di bawah Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama.
Pejabat Media Kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang menyasarkan dan membunuh secara sistematik wartawan Palestin. Mereka turut menyeru Persekutuan Wartawan Antarabangsa, Kesatuan Wartawan Arab serta semua badan kewartawanan di seluruh dunia agar mengutuk jenayah sistematik yang menyasarkan wartawan dan petugas media Palestin di Gaza.
Pejabat tersebut turut meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada rejim Israel dan negara-negara yang terlibat dalam jenayah pembunuhan beramai-ramai atas pelaksanaan jenayah keji dan kejam tersebut.
Mereka juga menggesa masyarakat antarabangsa, pertubuhan antarabangsa serta badan-badan berkaitan kewartawanan dan media di seluruh dunia supaya mengutuk jenayah Israel, mengambil tindakan terhadapnya serta membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan antarabangsa.
Selain itu, masyarakat antarabangsa diseru agar memberikan tekanan yang serius dan berkesan bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, melindungi wartawan dan petugas media di wilayah tersebut serta menghentikan pembunuhan dan pembunuhan bersasar terhadap mereka.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Kesihatan berkata sekurang-kurangnya 5,026 rakyat Palestin cedera dalam tempoh yang sama, termasuk 31 orang dalam tempoh 24 jam terakhir. Khoudary, dalam laporan dari Gaza berkata walaupun gencatan senjata sepatutnya berkuat kuasa, keganasan tentera Israel masih berterusan dan keadaan kemanusiaan semakin merosot.
“Setiap hari, rakyat Palestin dibunuh dan dicederakan. Semua orang di Gaza takut untuk keluar pergi ke pasar raya, menghantar anak-anak ke sekolah dan menjalani kehidupan harian seperti biasa,” katanya, sambil menggambarkan keadaan penduduk sebagai mengerikan.
Menurut pegawai kesihatan, serangan Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah mengorbankan sekurang-kurangnya 74,032 rakyat Palestin, manakala 175,142 yang lain cedera.
Kemusnahan infrastruktur turut terus bertambah. Analisis Pusat Satelit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOSAT) pada Ogos mendapati jumlah struktur yang musnah di Gaza meningkat sebanyak sembilan peratus sejak gencatan senjata berkuat kuasa.
Menurut PBB, kira-kira 82% struktur di Gaza, atau sekitar 200,000 bangunan telah mengalami kerosakan, manakala kira-kira dua pertiga daripadanya telah musnah sejak bermulanya perang.
Sumber: Shehab News, Al Jazeera