“Aku Akan Pastikan Kamu Dihukum Mati”: Ben-Gvir Ugut Tahanan Palestin Dalam Sel Penjara

Menteri Keselamatan wilayah haram Israel, Itamar Ben-Gvir sekali lagi mengeluarkan rakaman mengundang kecaman ketika sebuah video disiarkan pada Ahad lepas yang memaparkan dirinya berada di dalam sel seorang tahanan Palestin, Hassan Salameh, yang telah ditahan rejim Israel sejak 1996.

“Aku nak bunuh kamu. Aku akan pastikan kamu dikenakan hukuman mati.” ugut Ben-Gvir kepada Salameh dalam rakaman tersebut, menurut agensi berita Anadolu.

Salameh, yang berasal dari semenanjung Gaza sedang menjalani beberapa hukuman penjara seumur hidup selepas disabitkan oleh mahkamah rejim Israel atas dakwaan terlibat dalam beberapa serangan pada 1990-an.

Dalam hantaran yang mengiringi video tersebut, Ben-Gvir berkata dia akan berusaha melaksanakan hukuman mati terhadap tahanan seperti Salameh sekiranya dilantik sebagai Menteri Pertahanan dalam kerajaan haram Israel akan datang.

Ben-Gvir turut berikrar untuk meneruskan apa yang disebutnya sebagai penghijrahan secara sukarela dari Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, istilah yang telah digunakan berulang kali bagi merujuk kepada cadangan pemindahan rakyat Palestin.

Ben-Gvir sebelum ini berkata Parti Jewish Power pimpinannya akan menuntut portfolio pertahanan dan kehakiman sebagai syarat untuk menyertai kerajaan haram Israel pada masa hadapan. Sementara pilihan raya Knesset Israel pula dijadualkan akan berlangsung pada 27 Oktober ini.

Pejabat Media Tahanan Palestin mengecam kemunculan Ben-Gvir di hadapan kamera bersama Salameh. Ia berkata ancaman tersebut merupakan hasutan langsung untuk melakukan jenayah terhadap tahanan Salameh, yang menurutnya telah melalui keadaan tahanan yang keras selama bertahun-tahun.

Pejabat itu juga menyifatkan video berkenaan sebagai aksi politik dan pilihan raya murahan, dengan mendakwa Ben-Gvir menggunakan ancaman terhadap tahanan bagi meraih sokongan pengundi berhaluan ekstrem. Keadaan Salameh dalam video itu turut memperlihatkan kesan yang didakwa berpunca daripada kelaparan, penyeksaan dan pengabaian perubatan secara sistematik di pusat tahanan rejim Israel.

Sementara itu, gerakan HAMAS berkata video Ben-Gvir tersebut menunjukkan bahaya berlakunya pembunuhan lanjut terhadap tahanan Palestin di penjara rejim. HAMAS berkata ancaman tersebut tidak akan melemahkan Salameh atau tahanan lain dan menegaskan komitmennya untuk terus berusaha mendapatkan pembebasan mereka.

Pada Mac lalu, Knesset Israel meluluskan undang-undang yang membenarkan hukuman mati dalam kes tertentu dengan undian 62 berbanding 48. Perundangan tersebut membenarkan hukuman mati dijatuhkan tanpa memerlukan permintaan daripada pihak pendakwaan atau keputusan sebulat suara.

Ben-Gvir turut mengetatkan sekatan terhadap tahanan Palestin sepanjang tempoh dia memegang jawatan sebagai Menteri Keselamatan Negara.

Sumber: The Palestine Chronicle 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

PBB: Israel Luluskan 8,085 Unit Penempatan Haram, 736 Rakyat Palestin Dihalau di Tebing Barat 

Next Post

Kekurangan Kritikal Peralatan dan Bekalan Perubatan Jejas Diagnosis Pesakit di Gaza

Related Posts