Pelan Ben-Gvir Usir Hampir 1.9 Juta Rakyat Palestin dari Gaza Dalam Tempoh 7 Tahun

Menurut akhbar Israel, Yedioth Ahronoth mendedahkan rancangan Menteri Keselamatan wilayah haram Israel, Itamar Ben-Gvir untuk mengeluarkan kira-kira 1.86 juta rakyat Palestin daripada keseluruhan 2.2 juta penduduk Gaza dalam tempoh tujuh tahun.

Pelan itu dilaporkan bakal dijadikan antara agenda utama kempen pilihan raya Ben-Gvir.

Menurut laporan tersebut, Ben-Gvir akan memperkenalkan pelan yang dinamakan Disengagement 710, berasaskan konsep yang disebutnya sebagai ‘penghijrahan sukarela’ dari Gaza.

Pelan itu menyasarkan pemindahan kira-kira 250,000 rakyat Palestin pada tahun pertama, diikuti 1.11 juta orang dalam tempoh tiga tahun, sebelum meningkat kepada sekitar 1.86 juta orang dalam tempoh tujuh tahun.

Ben-Gvir dan partinya, Otzma Yehudit dilaporkan bercadang menjadikan pelaksanaan pelan tersebut sebagai syarat utama dalam sebarang rundingan untuk menyertai kerajaan haram Israel yang akan datang.

Pelan itu turut menjanjikan penyediaan negara destinasi bagi setiap individu atau keluarga yang meninggalkan Gaza, termasuk status undang-undang, dokumen perjalanan, visa, pembiayaan perjalanan dan penempatan awal.

Selain itu, individu yang meninggalkan Gaza akan ditawarkan latihan vokasional, bantuan mendapatkan pekerjaan serta sokongan kewangan sehingga 24 bulan.

Menurut laporan itu, setiap individu dan keluarga akan disediakan fail khusus, dengan penekanan terhadap memelihara kesatuan keluarga serta menyediakan laluan untuk pekerjaan, pendidikan dan rawatan perubatan.

Pelan tersebut turut merangkumi pakej penempatan dan pemulihan bagi memastikan keluarga Palestin yang meninggalkan Gaza dapat menetap secara kekal di negara penerima dan tidak kembali semula ke Gaza.

Ia juga mencadangkan pembayaran kepada negara atau pihak yang menerima penduduk Palestin berdasarkan prestasi penempatan, selain pemeriksaan keselamatan terhadap setiap individu.

Sasaran tahunan akan ditetapkan dan laporan bulanan akan disediakan bagi merekodkan jumlah permohonan, kelulusan, individu yang meninggalkan Gaza, kos pelaksanaan serta tahap penyerapan mereka di negara penerima.

Menurut akhbar itu juga, pelan itu memerlukan pelaburan awal Israel sebanyak 10 bilion shekel (kira-kira AS$3.1 bilion) untuk dilancarkan.

Keseluruhan rangka pembiayaan pula boleh mencecah 50 bilion shekel atau sekitar AS$15.6 bilion, bergantung kepada penyertaan antarabangsa dan perjanjian dengan negara-negara yang bersedia menerima penduduk Palestin.

Pelan ini dilihat sebagai antara cadangan paling jelas yang pernah dikemukakan oleh tokoh kanan Israel untuk mengubah struktur demografi Gaza melalui pemindahan penduduk secara besar-besaran, walaupun ia digambarkan sebagai ‘penghijrahan sukarela’.

Sumber: PALM Strategic Initiatives Centre

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sekolah Kristian di Baitul Maqdis Terancam, Gereja Palestin Rayu Tindakan Antarabangsa

Next Post

Beneath The Gaza Sky

Related Posts