Jawatankuasa Presiden Tertinggi bagi Hal Ehwal Gereja di Palestin pada Rabu menggesa gereja-gereja di seluruh dunia mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan sekolah-sekolah Kristian di Baitul Maqdis selepas rejim Israel menghalang guru dan kakitangan dari Tebing Barat daripada memasuki bandar itu untuk ke tempat kerja.
Dalam satu kenyataan, jawatankuasa itu berkata pihak berkuasa rejim Israel enggan mengeluarkan atau memperbaharui permit masuk bagi beberapa guru dan kakitangan dari Tebing Barat, sekali gus menghalang mereka daripada hadir ke sekolah dan tempat kerja masing-masing.
Tindakan itu telah memaksa institusi pendidikan Kristian mengisytiharkan mogok tanpa had, sekali gus meletakkan sesi persekolahan 2026–2027 dalam keadaan terancam dan menghalang pelajar daripada kembali ke bilik darjah.
Menurut kenyataan tersebut, antara langkah lain yang membimbangkan ialah usaha rejim Israel mengenakan kurikulumnya ke atas sekolah-sekolah Palestin, selain undang-undang yang diluluskan Knesset pada Januari lalu yang menyekat pengambilan graduan institusi pengajian tinggi Palestin sebagai tenaga pengajar.
Dasar-dasar tersebut bertujuan melemahkan identiti Baitul Maqdis dan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Konvensyen Geneva Keempat yang mengiktiraf Baitul Maqdis Timur sebagai wilayah yang diduduki.
Jawatankuasa tersebut menegaskan bahawa institusi pendidikan Kristian merupakan sebahagian penting daripada sejarah Baitul Maqdis serta kewujudan gereja di bandar berkenaan. Sekolah-sekolah Kristian telah mendidik beberapa generasi rakyat Palestin, merangkumi masyarakat Kristian dan Islam, sekali gus memainkan peranan bersejarah yang perlu dipelihara.
Jawatankuasa berkenaan menyeru gereja-gereja di seluruh dunia menggunakan pengaruh serta hubungan antarabangsa mereka untuk terus mendesak rejim Israel bagi mengeluarkan dan memperbaharui permit guru serta kakitangan yang terjejas. Mereka turut menuntut agar sekolah-sekolah dapat dibuka semula dan guru serta pelajar dibenarkan kembali ke bilik darjah dengan selamat.
Sumber: Anadolu Agency