Israel Tubuhkan Unit Khas Pantau Media Sosial Rakyat Palestin 

Rejim haram Israel dilaporkan menubuhkan sebuah unit khas yang memantau aktiviti media sosial rakyat Palestin di seluruh Tebing Barat yang dijajah. Unit tersebut menggunakan hantaran media sosial yang dianggap sebagai hasutan untuk menjalankan serbuan pada waktu malam dan melakukan penangkapan, menurut laporan Saluran 12 Israel pada 12 Oktober.
Setakat tahun 2026, rejim Israel telah menahan seramai 215 rakyat Palestin melalui operasi unit tersebut. Sejak penubuhannya pada Oktober 2023, ketika bermulanya genosid di Gaza, lebih 600 individu telah ditahan dan dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menyebarkan kandungan keganasan serta menyatakan simpati terhadap pengganas, termasuk memberikan sokongan kepada Operasi Taufan al-Aqsa.
“Sesiapa yang memuji sesuatu serangan, mengagungkan serangan, menggambarkan HAMAS sebagai penyelesaian atau memaparkan simbol keganasan, kami tahu bagaimana untuk menjejaki mereka,” kata seorang sumber daripada pemerintahan usat tentera Israel kepada saluran tersebut.
Dalam tempoh seminggu lalu sahaja, tentera rejim telah menyerbu kira-kira 70 lokasi di Tebing Barat yang dilabelkan sebagai sasaran hasutan. Operasi tersebut didakwa bertujuan membanteras apa yang disebut oleh pihak tentera sebagai infrastruktur hasutan.
Rejim haram turut melaksanakan lebih 1,000 operasi, termasuk soal siasat di lapangan dan kunjungan berbentuk amaran terhadap rakyat Palestin yang dituduh terlibat dalam keganasan. Dalam masa yang sama, kira-kira 30 papan tanda, simbol dan tugu peringatan bagi memperingati rakyat Palestin yang terbunuh telah dimusnahkan.
Selain itu, tentera Israel telah menutup lebih 40 premis pertukaran mata wang dan merampas sejumlah besar wang yang didakwa bertujuan membiayai aktiviti ‘keganasan’. Premis percetakan yang dituduh menghasilkan bahan berunsur hasutan turut diarahkan tutup.
Tindakan menyekat aktiviti digital ini merupakan sebahagian daripada kempen Israel yang lebih luas untuk menekan kehidupan rakyat Palestin di Tebing Barat yang dijajah, sekali gus mewujudkan keadaan hidup yang semakin sukar sehingga mendorong pemindahan secara paksa.
Langkah tersebut dilaksanakan seiring dengan peluasan penempatan haram Israel, perobohan rumah, penangkapan besar-besaran dan keganasan pendatang haram Israel. Kesemua tindakan ini telah menyebabkan puluhan ribu rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal, di samping membuka laluan kepada pengilhakan wilayah Palestin secara de facto, iaitu penguasaan wilayah secara nyata tanpa pengisytiharan rasmi.
Sumber: The Cradle, memetik laporan Channel 12 Israel, 12 Oktober 2026.
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Mengenang Kesyahidan Saleh al-Jaafarawi dan Wartawan Palestin Yang Lain

Related Posts