Mens Rea (Niat Jenayah) Israel yang Tidak Lagi Diselindung

Tiada manusia yang seharusnya perlu menagih untuk keperluan asas seperti makanan di atas tanahnya sendiri. Namun, inilah hakikat yang berlaku terhadap rakyat Palestin. Media massa acap kali dimomokkan dengan kapasiti rakyat Palestin yang hidup normal seperti biasa. Krisis kelangsungan hidup di  Gaza menuntut lensa perundangan antarabangsa supaya dikaji semula. Tindakan menyekat rantaian logistik kemanusiaan dan memusnahkan infrastruktur asas kehidupan penduduk secara bersistematik bukan lagi satu kebetulan dalam operasi ketenteraan, sebaliknya ia merupakan sebuah strategi.

Di bawah kerangka Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) dan Statut Rom, pembuktian sesuatu jenayah perang bersandarkan kepada kewujudan Mens Rea iaitu niat jenayah yang disengajakan. Di saat institusi global memaparkan unjuran malnutrisi yang meruncing,  sekatan sempadan terus diperketat oleh pihak berkuasa. Strategi mengeksploitasi kebuluran sebagai instrumen geopolitik ini membuktikan satu hakikat: Mens Rea rejim Zionis menggunakan kebuluran sebagai senjata perang adalah sangat nyata, berstruktur dan tidak terselindung lagi.

Niat jenayah ini direalisasikan melalui Actus Reus (perbuatan jenayah) yang jelas, bermula dengan sekatan terhadap rantaian logistik kemanusiaan. Sebelum Oktober 2023, Gaza menerima purata 500 buah trak bantuan sehari. Menjelang Ogos 2025, angka ini menyusut drastik kepada hanya purata 69 buah trak sehari. Walaupun di bawah terma gencatan senjata yang terhad, pihak berkuasa Israel hanya membenarkan kemasukan 34% daripada trak bantuan yang telah dipersetujui, berikutan penutupan sempadan yang berlarutan selama berbulan-bulan.

Analisis satelit membuktikan 86% daripada jumlah tanah yang dimanfaatkan untuk pertanian di Gaza telah dimusnahkan atau tidak lagi boleh diakses. Di samping  itu,  kilang-kilang roti, kilang pengisar gandum dan perigi pertanian juga musnah. Hampir 70% infrastruktur air Gaza termasuk 180 kilometer rangkaian paip, perigi dan loji penyahgaraman utama telah musnah.

Apabila penduduk yang terdesak keluar mencari jalan untuk mendapatkan makanan, kawasan edaran bantuan automatik menjadi zon maut. Antara Mei hingga September 2025, lebih 2,339 rakyat Palestin terbunuh ketika cuba mendapatkan bekalan di laluan konvoi dan pusat edaran yang dikawal tentera. Krisis ini diburukkan lagi dengan pemotongan dana antarabangsa pada Oktober 2026, memaksa Program Makanan Sedunia (WFP) mengurangkan bantuan bulanan daripada 1.6 juta kepada 1.1 juta penerima.  Memaksa mereka mengecilkan saiz bungkusan makanan dan mengehadkan agihan pek makanan panas harian daripada 250,000 kepada 150,000 hidangan lalu meletakkan agensi tersebut dalam defisit dana yang kritikal berjumlah $300 juta hingga $450 juta.

Akibat langsung daripada sekatan ini dapat dilihat pada metrik kejatuhan sistem biologi populasi Gaza. Sejak 2024, sekurang-kurangnya 466 rakyat Palestin, termasuk 157 kanak-kanak, direkodkan maut secara langsung akibat kelaparan dan malnutrisi. Berikutan pengisytiharan rasmi kebuluran di Gaza pada Ogos 2025, trajektori krisis menjunam pantas. Lebih 1.4 juta penduduk (67% populasi Gaza) diunjurkan kekal dalam Fasa Krisis Ketidakjaminan Makanan (atau lebih buruk) sehingga penghujung tahun 2026. 

Kesan terhadap kanak-kanak adalah suatu tragedi yang mengancam genetik daya tahan generasi akan datang. Antara 2024 hingga Ogos 2026, sebanyak 158,001 kes malnutrisi direkodkan dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun. Daripada jumlah ini, 28,716 kes (18%) diklasifikasikan sebagai malnutrisi akut teruk yang membawa risiko kematian serta-merta.

Kadar kematian kanak-kanak di bawah lima tahun mencatatkan lonjakan mendadak daripada 13.6 kepada 33.4 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup antara tahun 2022 dan 2025. Bagi mereka yang terselamat, kerosakan adalah kekal: 12.2% kanak-kanak (1 daripada 8) kini menderita masalah tumbesaran yang terbantut serta mengancam perkembangan kognitif dan fizikal jangka panjang mereka. Menjelang April 2027, dianggarkan 74,200 kanak-kanak akan memerlukan rawatan perubatan pakar untuk malnutrisi akut. 

Dari sudut perundangan antarabangsa, data empirikal ini adalah bukti forensik yang membenarkan dakwaan jenayah perang. Artikel 54(1) dan (2) Protokol Tambahan I Konvensyen Geneva serta Artikel 14 Protokol II secara mutlak melarang penggunaan kelaparan ke atas orang awam sebagai kaedah peperangan dan mengharamkan serangan ke atas objek yang penting untuk kelangsungan hidup. Artikel 23 dan 59 Konvensyen Geneva Keempat turut mewajibkan kuasa penjajah membenarkan laluan bebas untuk makanan dan bantuan perubatan.

Sekatan sistematik yang terus dikuatkuasakan walaupun berdepan unjuran kematian yang jelas memenuhi kriteria Mens Rea di bawah Artikel 8(2)(b)(xxv) Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Bukti-bukti keangkuhan ini telah mendorong ICC untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap pemimpin-pemimpin tertinggi rejim (termasuk Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan rejim Israel, Yoav Gallant) atas tanggungjawab jenayah menggunakan kelaparan sebagai kaedah peperangan.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) juga telah mengeluarkan perintah yang mengesahkan bahawa fasa kebuluran di Gaza sedang berlaku, mewajibkan rejim Zionis  membenarkan kemasukan keperluan asas tanpa apa-apa sekatan. Pakar-pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Human Rights Watch, Amnesty International dan Oxfam telah mencapai satu konsensus muktamad: Ini bukan lagi peperangan konvensional tetapi sebuah “kempen kelaparan bersasar” (targeted starvation campaign). Ia adalah satu pelanggaran langsung terhadap hak asasi manusia yang tidak boleh ditoleransi.

Kesimpulannya, krisis kemanusiaan yang disaksikan oleh dunia di Gaza hari ini  yang melangkaui lensa konvensional adalah sebuah projek pemusnahan berstruktur yang didorong oleh Mens Rea yang jelas. Bukti-bukti forensik, sekatan logistik, kemusnahan infrastruktur asas dan unjuran malnutrisi yang dibentangkan merungkai niat rejim yang tidak lagi boleh berselindung di sebalik naratif peperangan biasa. Paling membimbangkan, kesan jenayah kelaparan ini merentas sempadan masa. Ia bukan sekadar meragut nyawa pada hari ini, sebaliknya merompak potensi kognitif, fizikal dan warisan genetik generasi masa depan Palestin secara terancang.

Jika komuniti antarabangsa gagal bertindak dan terus membiarkan jenayah ini berlaku tanpa sebarang kebertanggungjawaban undang-undang, maka instrumen keadilan seperti Konvensyen Geneva dan Statut Rom hanya wayang sebagai dokumen kosong yang mengkhianati fungsinya sendiri. Tuntutan akauntabiliti mutlak menerusi ICC tidak boleh lagi ditangguhkan atau dihalang oleh campur tangan politik. Membiarkan kebuluran terus dieksploitasi sebagai senjata bermakna dunia sedang hanyut. Jenayah kelaparan ini mesti dihentikan dan keadilan untuk masa depan generasi Gaza wajib ditegakkan segera.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Perang dan Serangan Pendatang Haram Israel Musnahkan Kebun Zaitun Rakyat Palestin

Next Post

Pilihan Raya Israel: Mampukah Netanyahu Kekal Berkuasa?

Related Posts