Duta Amerika Syarikat (AS) ke Israel, Mike Huckabee menggesa pihak berkuasa rejim Israel menangkap dan mendakwa individu yang bertanggungjawab menyerang jurugambar foto The Washington Post, Heidi Levine ketika beliau membuat liputan musim menuai zaitun bersama penduduk Palestin di Tebing Barat yang diduduki. Huckabee menyifatkan serangan itu sebagai tindakan keganasan yang keji dan menuntut siasatan menyeluruh serta pendakwaan terhadap semua pihak yang terlibat, mengikut peruntukan undang-undang.
Dalam kenyataan di platform X pada Sabtu, beliau berkata individu yang menyerang seorang jurugambar wanita yang tidak bersenjata dan jelas dikenal pasti sebagai wartawan perlu dikenakan tindakan undang-undang.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio turut menyuarakan kebimbangan terhadap serangan itu dan menggesa Israel mengambil langkah lebih tegas bagi membendung keganasan pendatang haram Israel terhadap rakyat Palestin. Rubio berkata Jabatan Negara AS telah mendapatkan maklumat berhubung kejadian itu dan Washington akan menyampaikan jangkaannya kepada pihak Israel bagi mengelakkan insiden serupa berulang.
Levine, 63 tahun, diserang sekumpulan pendatang haram Israel bertopeng pada Jumaat ketika membuat liputan aktiviti menuai zaitun oleh petani Palestin di kawasan Abu Falah, timur laut Ramallah. Menurut laporan, kumpulan itu menggunakan kayu dan senjata lain untuk memukul beliau serta beberapa penduduk Palestin, selain merampas kamera, pasport dan telefon bimbitnya.
Levine berkata beliau dipukul selama lebih 10 minit dan ditendang berulang kali ketika terjatuh ke tanah. Beliau menyatakan rakan-rakan Palestin turut campur tangan untuk menyelamatkannya daripada serangan tersebut. Beliau kemudian dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan pada jari yang hampir terputus. Serangan itu turut menyebabkan tulang rusuk patah, kecederaan pada beberapa tulang belakang serta luka-luka lain.
Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu, sebelum ini mengecam keganasan terhadap orang awam tetapi menyifatkan serangan terhadap Levine sebagai kejadian yang masih didakwa berlaku, sambil menyatakan keadaan sebenar insiden itu masih belum jelas. Kenyataan tersebut mengundang kritikan Levine yang berkata dia terkejut dengan penggunaan istilah itu sedangkan bukti serangan telah tersedia.
Presiden wilayah haram Israel, Isaac Herzog, menghubungi Levine bagi menyampaikan kecaman terhadap serangan berkenaan. Beberapa bekas pegawai kanan keselamatan dan perisikan Israel turut menyatakan rasa malu terhadap kejadian itu.
Insiden tersebut berlaku ketika keganasan pendatang haram Israel terhadap rakyat Palestin semakin meningkat, khususnya menjelang musim menuai zaitun tahunan. Kumpulan hak asasi Israel, Yesh Din melaporkan sekurang-kurangnya 170 serangan oleh pendatang haram Israel terhadap rakyat Palestin sejak 27 September lalu.
Sumber: The Guardian, al-Jazeera