Hubungan Rapat Baku-Israel, Sekatan Tudung di Azerbaijan Cetus Ketegangan Dengan Turkiye

Penguatkuasaan peraturan pakaian seragam sekolah yang menyekat pemakaian tudung bagi masyarakat Islam di Azerbaijan mencetuskan bantahan dalam kalangan masyarakat serta kritikan dari Turkiye. Pertikaian itu turut meningkatkan ketegangan antara Baku dengan Ankara, yang mempunyai hubungan rapat dari segi sejarah dan politik.

Dalam masa yang sama, hubungan strategik Azerbaijan dengan Israel menjadi satu lagi isu yang mengundang perhatian, khususnya dalam kalangan pihak yang mempersoalkan pendirian Baku sebagai negara majoriti Muslim. Kerjasama kedua-dua negara dalam bidang ketenteraan dan tenaga turut menjadi sorotan ketika hubungan Azerbaijan dengan Turkiye berdepan tekanan susulan isu sekatan pemakaian tudung berkenaan.

Menurut laporan Ynet, pihak berkuasa Azerbaijan mengetatkan penguatkuasaan peraturan tersebut atas alasan mengekalkan prinsip sekularisme, kesamarataan dan kedaulatan undang-undang. Kerajaan negara majoriti Muslim Syiah itu turut menegaskan Ankara tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan dalamannya.

Peraturan yang diperkenalkan bulan lalu itu melarang pelajar memakai pakaian yang menyimpang daripada seragam rasmi atau dianggap tidak selaras dengan ciri sekular pendidikan awam. Walaupun larangan bertudung tidak disebut secara khusus, laporan menyatakan pelajar perempuan dan guru yang memakai tudung dilaporkan dihalang memasuki sekolah.

Tindakan itu mencetuskan bantahan sejak beberapa hari kebelakangan ini. Kementerian Dalam Negeri Azerbaijan berkata 37 individu ditahan pada Isnin atas dakwaan mengganggu ketenteraman awam ketika membantah pelaksanaan peraturan berkenaan.

Menurut kementerian itu, penunjuk perasaan di Baku memberi ancaman kepada kakitangan sekolah, merosakkan harta benda dan cuba mengganggu perjalanan kelas. Rakaman yang tular di media sosial pula menunjukkan pelajar menangis kesedihan serta memeluk guru mereka yang bertudung yang dilaporkan tidak lagi dibenarkan memasuki sekolah kerana bertudung. Pelajar di sekurang-kurangnya dua sekolah turut memboikot kelas sebagai tanda bantahan.

Pertikaian itu kemudian merebak ke peringkat diplomatik apabila pegawai Turkiye mengkritik sekatan berkenaan. Oktay Saral, penasihat kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan tindakan menafikan hak pendidikan kepada pelajar perempuan bertudung sebagai satu perkara yang tidak boleh diterima, sambil menegaskan tudung merupakan tuntutan agama.

Parti pemerintah Azerbaijan, Parti Azerbaijan Baharu (YAP) membalas kenyataan itu dengan menyifatkannya sebagai populis (berorientasikan rakyat) dan tidak bertanggungjawab serta memberi amaran bahawa campur tangan sedemikian boleh menjejaskan hubungan kedua-dua negara. Parti itu menegaskan hubungan erat Azerbaijan dan Turkiye tidak bermakna Ankara berhak menentukan dasar pendidikan Baku.

Ketegangan turut dipengaruhi hubungan rapat Azerbaijan dengan Israel, yang menjadi sasaran kritikan sebahagian pihak di Turkiye dan dunia Islam. Baku mempertahankan hubungan dua hala itu dengan menyatakannya berasaskan undang-undang antarabangsa serta kepentingan bersama khususnya dalam bidang keselamatan dan ekonomi. Menurut laporan Ynet, rejim Israel merupakan pembekal utama senjata kepada Azerbaijan dan turut mengimport minyak dari mereka. Hubungan itu juga diperkukuh oleh pertalian kebudayaan dan sejarah antara kedua-dua negara.

Perkembangan itu meletakkan Baku dalam kedudukan sukar ketika berusaha mengekalkan dasar sekular di negara majoriti Muslim, sambil mempertahankan hubungan strategiknya dengan Israel dan mengurus ketegangan dengan Turkiye, sekutu tradisinya.

Sumber: Ynet Global, Asbarez

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel Tubuhkan Unit Khas Pantau Media Sosial Rakyat Palestin 

Related Posts