Perang Israel Ubah Kehidupan di Gaza

Selepas perang yang tercetus tiga tahun lalu, kehidupan di Gaza tidak lagi seperti sebelum ini. Puluhan ribu rakyat Palestin kini berdepan penderitaan yang seolah-olah tiada penghujung selepas kehilangan sumber pendapatan, anggota badan atau kedua-duanya sekali. Sebahagian yang lain pula terpaksa bergelut dengan kesukaran hidup dan mencari makanan untuk diberikan kepada anak-anak mereka.

Antara yang terkesan ialah Sameh Saad, seorang guru di Gaza. Beliau berkata, tumpuannya kini terbahagi antara mendidik kanak-kanak dan mencari makanan serta air untuk keluarganya. Menurutnya, pergi mengajar bermakna beliau mungkin terlepas peluang untuk beratur di hadapan dapur kebajikan dan pusat pengagihan air.

Dalam wawancara bersama al-Jazeera, Saad berkata beliau terpaksa berjalan kaki dalam jarak yang jauh berikutan kekurangan kenderaan pengangkutan awam serta kemusnahan teruk jalan raya. Di dalam khemah tempat keluarganya tinggal, beliau masih bergantung kepada kertas dan kayu api untuk menyalakan api, manakala sebahagian besar masanya dihabiskan untuk mencari makanan bagi keluarganya. Keadaan itu jauh berbeza berbanding sebelum perang apabila beliau boleh pulang dari kerja dan menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa bersama anak-anak.

Shadi, seorang pemuda yang masih di awal usia terpaksa menanggung kerugian akibat kehilangan kedai gunting rambut yang menjadi sumber pendapatannya akibat perang genosid Israel di Gaza. Kakinya turut terpaksa dipotong selepas mengalami kecederaan, menyebabkan beliau tidak lagi mampu berjalan atau bekerja.

Seorang wanita berkata beliau turut kehilangan kedai yang menjadi sumber pendapatan keluarganya. Anak-anaknya kini takut melihat wajahnya selepas beliau kehilangan sebelah mata dan mengalami kecacatan pada muka. Seorang lagi wanita berkata beliau kehilangan anak-anak, ibu bapa dan adik-beradiknya sepanjang peperangan berlaku, yang tinggal hanyalah beliau dan suaminya yang terselamat daripada seluruh keluarganya.

Nasib lelaki juga tidak terlepas daripada penyeksaan ini. Seorang pemuda berkata beliau kehilangan rumah, anggota keluarganya serta segala kenangan sebelum peperangan berlaku, sehingga yang tinggal hanyalah runtuhan rumah yang kini menjadi tapak untuk mendirikan khemah sebagai tempat tinggal. Seorang lagi berkata beliau tidak lagi mampu melakukan sebarang pekerjaan tanpa bantuan selepas kehilangan penglihatan dalam perang dan kini bergantung kepada orang lain untuk melakukan hampir setiap pergerakan.

Kanak-kanak juga tidak lagi mempunyai tempat yang sesuai untuk belajar selain di dalam khemah. Khemah kini menjadi rumah, sekolah dan segala-galanya bagi mereka selepas rumah serta sekolah mereka musnah.

Sumber: al-Jazeera

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tiga Tahun Taufan al-Aqsa: Genosid Masih Berterusan, Gaza di Ambang Kemusnahan 

Next Post

Netanyahu Putarbelitkan Dokumen Amaran Sebelum Serangan 7 Oktober 

Related Posts