Lebih 800 guru Palestin terbunuh manakala lebih 3,300 yang lain cedera di Gaza sejak bermulanya perang Israel pada Oktober 2023, menurut Kementerian Pendidikan Palestin.
Kementerian itu mengeluarkan kenyataan berkenaan menjelang Hari Guru Sedunia yang disambut setiap 5 Oktober, sambil memberi amaran bahawa warga pendidik Palestin kini berdepan kesukaran untuk memastikan akses kepada pendidikan terus dipertahankan di tengah-tengah serangan sistematik terhadap sektor pendidikan. Menurut kementerian, guru di seluruh wilayah Palestin yang diduduki kini seolah-olah dalam sebuah ‘pertempuran’ untuk terus hidup demi mempertahankan hak mendapatkan pendidikan.
Kementerian Pendidikan menyifatkan kemusnahan dan serangan terhadap sektor pendidikan di Gaza dan Tebing Barat sebagai genosid menyeluruh. Kementerian tersebut turut menekankan isu penahanan warga pendidik, dengan lebih 170 guru masih dipenjarakan dalam keadaan penahanan yang teruk.
Di Tebing Barat yang diduduki, sekatan pergerakan dan gangguan di ratusan pusat pemeriksaan tentera rejim Israel turut memburukkan kesukaran harian yang dihadapi guru. Kementerian itu menyoroti keadaan di Masafer Yatta, selatan al-Khalil, al-Mughayyir di Tebing Barat tengah, Lembah Jordan serta beberapa komuniti di Kawasan C.
Menurut pembahagian yang ditetapkan melalui Perjanjian Oslo II 1995, Tebing Barat dibahagikan kepada Kawasan A, B dan C. Kawasan A berada di bawah kawalan awam dan keselamatan Palestin, manakala Kawasan B di bawah pentadbiran awam Palestin dan kawalan keselamatan rejim Israel. Kawasan C yang merangkumi kira-kira 60 peratus Tebing Barat pula kekal di bawah kawalan penuh kerajaan haram Israel.
Kementerian Pendidikan menyeru masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pertubuhan pendidikan dan hak asasi manusia supaya bertindak segera bagi membendung pelanggaran terhadap warga pendidikan dan menyediakan perlindungan antarabangsa kepada pelajar serta kakitangan pendidikan. Kementerian itu turut menggesa kesatuan guru di seluruh dunia mendesak pembebasan guru-guru Palestin yang ditahan.
Selain korban jiwa, kecederaan, penahanan dan sekatan pergerakan, guru Palestin turut berdepan tekanan kewangan yang serius sehingga menjejaskan kestabilan kehidupan dan keadaan psikologi mereka. Kementerian itu mengaitkan keadaan tersebut dengan tindakan Israel menahan hasil cukai Palestin, yang menurutnya memburukkan krisis kewangan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan menjejaskan keupayaannya membayar gaji kakitangan awam sepenuhnya.
Hasil cukai berkenaan, yang juga dikenali sebagai hasil pelepasan, terdiri daripada cukai yang dikutip kerajaan haram Israel bagi pihak PA ke atas barangan import sebelum dipindahkan kepada pihak Palestin berdasarkan Protokol Paris 1994. Israel mula membuat potongan daripada hasil tersebut pada 2019 dan kemudiannya menghentikan pemindahan dana berkenaan. Hasil pelepasan menyumbang kira-kira 56 peratus daripada keseluruhan hasil awam Palestin dan penahanannya memberi kesan terhadap pembayaran gaji, penyediaan perkhidmatan awam serta pemenuhan tanggungjawab kerajaan.
Kementerian Pendidikan Palestin menggesa kesatuan antarabangsa menuntut agar hak kewangan guru yang masih tertahan dibayar, selain mendesak pembebasan warga pendidik yang ditahan, supaya guru Palestin dapat menjalani kehidupan dengan bermaruah.
Sumber: Palestine Chronicle
Related Posts
Zionis Rancang Perluas Garisan Kuning di Gaza, Sempitkan Ruang Hidup Rakyat Palestin
Rejim haram Israel memberi isyarat untuk memperluas kawasan kawalannya di Gaza kepada 70%, sekali gus menjadikan ruang hidup…
Pendatang Haram Israel Cederakan Enam Rakyat Palestin di Tebing Barat
Enam rakyat Palestin cedera selepas diserang sekumpulan penduduk haram Israel yang menceroboh kawasan Masafir Yatta di selatan Tebing…
Perang Israel Ubah Kehidupan di Gaza
Selepas perang yang tercetus tiga tahun lalu, kehidupan di Gaza tidak lagi seperti sebelum ini. Puluhan ribu rakyat…