PBB: Israel Luluskan 8,085 Unit Penempatan Haram, 736 Rakyat Palestin Dihalau di Tebing Barat 

Pihak berkuasa rejim Israel telah meluluskan 8,085 unit penempatan di Tebing Barat yang diduduki dan Baitul Maqdis Timur dalam tempoh tiga bulan lalu, ketika operasi perobohan dan penyitaan bangunan milik rakyat Palestin serta pemindahan paksa penduduk terus berlaku.

Penyelaras Khas Pemangku Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Proses Damai Timur Tengah, Ramiz Alakbarov berkata perkembangan tersebut menunjukkan perluasan penempatan haram Israel yang berterusan di Tebing Barat, yang menurutnya mencetuskan ketegangan, menyukarkan rakyat Palestin mengakses tanah mereka serta mengancam kelangsungan sebuah negara Palestin yang benar-benar merdeka, berdaulat dan mempunyai wilayah yang berkesinambungan.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya perluasan penempatan Israel yang berterusan di Tebing Barat,” katanya dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB pada Isnin.

Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334, yang diluluskan pada 2016 menyeru agar semua aktiviti penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki dihentikan serta mengisytiharkannya sebagai tidak sah.

Menurut PBB, antara 13 Jun hingga 18 September, pihak berkuasa Israel turut mengeluarkan puluhan arahan untuk merobohkan dan menyita struktur bagi tujuan memperluas penempatan.

Beliau berkata perkembangan tersebut melanggar undang-undang antarabangsa, mengukuhkan lagi pendudukan Israel yang tidak sah serta menjejaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

Dalam tempoh yang sama, pihak berkuasa Israel telah merobohkan atau menyita 536 bangunan di Tebing Barat, termasuk Baitul Maqdis Timur menyebabkan 736 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berpindah, termasuk 347 kanak-kanak.

Alakbarov berkata permit pembinaan yang dikeluarkan Israel adalah hampir mustahil untuk diperoleh oleh rakyat Palestin, menjadi antara alasan yang digunakan bagi perobohan dan penyitaan bangunan milik mereka.

Ketika ini, terdapat 279 penempatan haram Israel di Tebing Barat, termasuk 14 penempatan di Baitul Maqdis Timur, yang dihuni hampir 737,000 pendatang haram Yahudi, berbanding kira-kira 3.43 juta rakyat Palestin.

Sementara itu, di semenanjung Gaza, penyelaras PBB tersebut berkata serangan udara rejim Israel terus dilancarkan setiap hari di kawasan berpenduduk padat di sebelah barat kawasan yang dikenali sebagai garisan kuning.

Perkembangan ini berlaku ketika perluasan penempatan haram, pemindahan penduduk dan sekatan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat terus berlanjutan, selain keadaan gencatan senjata di semenanjung Gaza kekal rapuh. Laporan PBB yang diterbitkan baru-baru ini turut mengesahkan bahawa serangan rejim Israel masih berterusan meskipun gencatan senjata masih berkuat kuasa.

Sumber: Shehab News, Arab News

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Negara Berdaulat: Kuasa Nasional Asas Pembebasan Palestin

Next Post

“Aku Akan Pastikan Kamu Dihukum Mati”: Ben-Gvir Ugut Tahanan Palestin Dalam Sel Penjara

Related Posts