Jika kita telusuri sejarah Palestin, kita akan mendapati bahawa Palestin memiliki sejarah sebagai sebuah negara dengan situasi bergolak paling panjang di antara negara-negara Islam yang pernah wujud. Lipatan sejarah merekodkan ia pernah berada di bawah taklukan kuasa al-haq (benar), pernah juga berada di bawah kuasa al-batil (selain Islam). Namun yang pasti, mana-mana kuasa yang pernah menakluki tanah penuh barakah ini, ia menjadi kuasa besar, memerintah dunia pada zamannya.
Antara tiga tanah suci yang menempatkan tiga buah masjid terpenting di dalam Islam; tanah suci Mekkah, Madinah dan Baitul Maqdis, di mana Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis menjadi satu-satunya masjid yang berada di dalam tanah yang pernah didoakan Baginda Nabi SAW, iaitu tanah Syam. Masjid al-Aqsa ditakdirkan menjadi tanah pertaruhan yang perlu dipertahankan dan diperjuangkan oleh seluruh umat Islam. Dengan segenap keberkahan yang diceritakan ada di bumi penuh berkah ini, sesiapa sahaja yang mendiami bahkan menguasainya, akan memperolehi kelebihan dan kekuasaan ke atas seluruh dunia.
Ada beberapa dalil yang boleh ditemui yang membicarakan tentang keistimewaan-keistimewaan dimiliki oleh tanah suci ini. Antaranya:
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الباهِلِيِّ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: “لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: “بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ” – رواه الإمام أحمد
Daripada Abi Umamah Al-Bahili RA meriwayatkan: Rasulullah SAW bersabda, “Akan sentiasa wujud daripada umatku, sekumpulan yang terus menegakkan kebenaran dan tegas mendepani musuh. Tidak memudaratkan perjuangan mereka walaupun dipinggirkan dan dirintangi kesusahan, melainkan semua itu hanyalah ujian, sehinggalah datang ketentuan Allah. Mereka akan tetap sedemikian”. Sahabat bertanya, “Di mana mereka itu?” Baginda menjawab, “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di kawasan sekitarnya.”
Hadis ini menceritakan tentang wujudnya sekelompok daripada umat Islam yang akan sentiasa berdiri mendaulatkan kebenaran, mempertahankan prinsip Islam. Mereka tidak akan terkesan dengan tipu daya kawan, mahupun helah pihak lawan yang akan memudaratkan mereka. Mereka tidak akan rugi sekiranya ditinggalkan mana-mana pihak. Malah, mereka akan kekal begitu; teguh memperjuangkan agama dan kebenaran sehinggalah ketetapan Allah SWT tiba.
Menurut hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad ini, para sahabat selanjutnya bertanya kepada Rasulullah SAW, di manakah kelompok ini berada? Jawab Baginda SAW, mereka berada di Baitul Maqdis dan sekitarnya. Daripada hadis ini jelaslah, kelompok ini akan sentiasa diuji, sama ada dengan rintangan daripada pihak kawan mahupun lawan, di luar mahupun di dalam tanah air sendiri. Mereka sentiasa terdedah oleh ancaman dek kerana perjuangan mereka dalam menegakkan al-haq .
Ramadan tahun ini menjadi saksi bulan keenam meletusnya Perang Taufan al-Aqsa yang bermula pada 7 Oktober lalu, perang moden paling lama pernah berlaku dalam sejarah moden Palestin. Namun kali ini, Taufan al-Aqsa yang dilancarkan oleh pejuang HAMAS ke atas wilayah haram Israel berjaya membuka mata masyarakat dunia, membangkitkan kembali lena panjang umat Islam. Menyedarkan seluruh umat bahawa isu Palestin masih belum terpadam, bahkan Masjid al-Aqsa masih belum bebas!
Perlu diperhatikan, bagaimana sebuah bangsa yang sejak sekian lama – 100 tahun lebih – tidak berpeluang menghirup udara kemerdekaan; berupaya berdiri lalu bertahan dengan segenap kekuatan yang tersisa meskipun seluruh dunia membutakan mata, diam tidak membela. Bagaimana mereka yang berada di tanah terkepung bagai penjara terbesar dunia, mampu teguh bertahan meski berdepan pelbagai penderitaan dan kesusahan?
Ketika Sheikh Izzudin al-Qassam memutuskan untuk lari ke Palestin, beliau lari bukan kerana risaukan dirinya ditangkap penjajah Perancis yang menguasai Syria pada ketika itu. Sebaliknya yang menjadi kerisauannya sekiranya dirinya ditangkap, penerusan usaha menentang penjajah yang dilihat semakin giat akan terhenti. Justeru, pelbagai usaha telah dilakukan beliau bagi membuka mata menyedarkan masyarakat Palestin pada ketika itu akan bahaya mendatang dengan kemasukan imigran Yahudi yang semakin hari semakin ramai.
Beliau memulakan langkah dengan menyelami kehidupan bermasyarakat. Pelbagai ‘tugas’ dilakukan termasuk mengajar dan berceramah di masjid, menjadi guru, pembimbing rohani, bahkan menubuhkan gerakan al-Jihadiyyah untuk menentang penjajah British dan projek Zionis di Palestin. Beliau mula menyebarluaskan kefahaman dan mengajak masyarakat Arab Palestin untuk berbincang mengenai ancaman Yahudi meskipun usaha beliau dipandang enteng pada ketika itu. Perjuangannya memfokuskan pada tiga perkara utama iaitu kewaspadaan terhadap ancaman Yahudi, ajakan untuk melakukan jihad dan memilih orang-orang yang berkualiti dan seterusnya membekalkan mereka dengan pemikiran yang benar serta kemahiran ketenteraan.
Modus operandi yang sama dapat kita lihat pada keadah yang dibangunkan oleh Sheikh Ahmad Yassin ketika mula membentuk masyarakatnya, agar kembali menginsafi erti perjuangan, iaitu mempertahankan tanah suci Baitul Maqdis khususnya. Elemen utama yang dititikberatkan adalah pembangunan insaniah masyarakat Muslim. Hal ini kerana keadaan pada ketika itu rakyat Gaza dilihat mula menormalisasi kuasa pendudukan rejim Israel dan terbiasa dengan keadaan Gaza yang ‘dipenjarakan’ dengan dinding pemisah.
Usaha-usaha yang dilakukan Sheikh Ahmad Yassin kemudiannya berjaya menyedarkan rakyat, dan akhirnya penubuhan HAMAS mula diiktiraf dan disambut baik oleh warga Palestin. HAMAS di awal kewujudannya sebagai sebuah manhaj (metodologi) dalam membangun jiwa-jiwa masyarakat Muslim dalam rangka ketakwaan dan peradaban Islam yang sebenar. Dengan menanam kefahaman jihad mempertahankan tanah air daripada penjajahan kuasa asing lagi kufur. Lalu hasil daripada usahanya itu, rakyat Gaza, dari luar dan dalamnya mula bangkit menentang penjajah Israel.
Natijah daripada itu, sejarah membuktikan pada kita betapa ramai sosok-sosok hebat pelbagai latar belakang berjaya dilahirkan atas hasil didikan ini. Mereka bukan sahaja bangkit melawan penjajah disebabkan hak mereka dirampas, bahkan kebangkitan yang disuntik ke dalam jiwa setiap rakyat Palestin ini meruap dengan ganasnya setiap kali Masjid al-Aqsa dicemari, dinodai dan diceroboh oleh orang-orang Yahudi. Semua ini tidak lain tidak bukan merupakan hasil daripada manhaj pembangunan insan berteraskan iman dan takwa kepada Allah SWT. Perjuangan dan ribat yang dilakukan adalah semata-mata kerana takwa kepada Allah SWT.
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱصۡبِرُوا۟ وَصَابِرُوا۟ وَرَابِطُوا۟ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). – 3:200
Umum kita mengetahui, takwa merupakan matlamat paling agung bagi ibadah puasa. Dengan cara, berpuasa sebagai salah satu alat untuk mencapai ketakwaan. Ayat 200 daripada surah Ali Imran ini seolah-olah ingin memberitahu kita korelasi dekat antara takwa dan kemenangan. Dalam ayat ini juga Allah SWT menyeru orang-orang beriman agar melazimi diri mereka dengan sifat sabar yang diikuti dengan ketabahan dalam bersabar, teguh berwaspada dan diakhiri seruan dengan takwa demi mengecapi sebuah kemenangan.
Demikianlah sifat-sifat keimanan yang berpangkal dari ketakwaan dan berpenghujung dengan janjiNya yang tidak terjangkau akal insan. Umat Islam hanya akan diberikan kemenangan dan kejayaan atas dasar ketakwaan mereka.
Bumi Palestin akan menjadi bumi perjuangan yang tidak akan pernah sepi daripada peperangan dan pertumpahan darah antara umat Islam dan musuhnya. Apa jua musibah rintangan yang ditimpakan oleh musuh-musuh mereka, itu tidak akan memudaratkan mereka kecuali sedikit saja. Malah terdapat jaminan dalam dalil-dalil yang ada bahawa kelompok ini akan sentiasa bangkit dan berjuang. Perkara ini sedia maklum sejak dari awal mereka dijajah. Hanya saja keteguhan mereka disulami pelbagai corak perjuangan, yang kadangkala naik dan kadangkala turun. Namun semarak api perjuangan dalam jiwa mereka tidak pernah sesekali padam.
Pada akhirnya, bumi Palestin mengajar kita akan hakikat perjuangan sebenar, yang dimulakan dengan membina takwa, menyemainya dengan benih-benih kefahaman Islam dan selanjutnya berjuang mempertahankan kebenaran prinsip agama pada jalan jihad perjuangan. Dan sekiranya perkara ini dapat difahami sebaiknya oleh seluruh umat Islam, hal ini akhirnya akan membawa manusia kepada sebuah peradaban yang kembali mentauhidkan Allah SWT, yang menjamin keadilan dan saksama, serta kebahagiaan dan keharmonian buat sesiapa sahaja yang berada di bawah naungan sistem tersebut.
Lia Maryam
Penterjemah Arab-Melayu
Cinta Gaza Malaysia