Rumah di Gaza Kini ‘Bom Jangka’

Rumah sepatutnya menjadi tempat paling selamat di dunia. Namun, dua tahun hidup dalam peperangan, rumah di Gaza telah menjadi zon paling maut di dunia kerana ianya dijadikan sasaran rejim Zionis.

Namun, rumah tetap menjadi tempat yang paling dirindui. 

Apabila gencatan senjata berkuatkuasa pada 10 Oktober 2025, lebih 309,000 rakyat Gaza pulang ke kediaman masing-masing sehingga menciptakan satu fenomena “gelombang manusia” di Jalan Persisir Pantai Al-Rashid dan Jalan Salah al-Din. Namun, rekod kepulangan rakyat Gaza pada hari ini sukar diukur susulan penubuhan haram garisan kuning yang menyebabkan pengaksesan mereka ke rumah menjadi terhad. Kerana garisan kuning yang semakin diperluaskan, penduduk semenanjung Gaza hanya boleh akses kawasan yang luasnya kurang daripada 40%. Maka, tidak hairan jika Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) merekodkan masih ada sekitar 2.1 juta rakyat semenanjung Gaza belum boleh pulang ke kediaman masing-masing. Rata-rata masih berlindung di pusat penempatan sementara seperti di Al-Tuffah dan Al-Zaytoun di timur bandar Gaza.

Bagaimanapun, pada 16 September 2026, berlaku sebuah insiden yang menyaksikan sebuah bangunan di bandar Gaza, Al-Saada runtuh lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 21 orang rakyat Palestin dan 12 orang kanak-kanak terbunuh dan terperangkap di bawah timbunan runtuhan bangunan. Manakala 14 orang rakyat Palestin yang lain cedera. 

Insiden tersebut menimbulkan satu persoalan besar:

Apakah makna gencatan senjata jika penduduk Gaza masih berisiko terbunuh di dalam rumah sendiri?

Rumah Sendiri Membawa Maut

Ironinya di Gaza, rumah yang sepatutnya menjadi tempat untuk penduduk Palestin kembali kini bertukar menjadi perangkap maut, bukan kerana peluru Zionis, tetapi kerana kerapuhan bangunan yang akan menyembah bumi. Menerusi laporan Associated Press News pada 18 September 2026, keruntuhan bangunan Al-Saada hanyalah bab pertama kepada penderitaan yang belum terungkap. Rekod yang diambil daripada Kementerian Kerja Raya Palestin mendedahkan lebih 2,000 buah bangunan berisiko untuk runtuh. Bagaimanapun, data yang sama menunjukkan sebanyak 76% unit kediaman telah rosak atau musnah, sejajar dengan rekod lebih 320,000 rumah telah musnah sepanjang perang hampir tiga tahun. 

Penduduk di semenanjung Gaza tiada pilihan. 72% daripada penduduk Gaza teruskan kehidupan di dalam rumah yang sudah musnah kerana sekurang-kurangnya, tempat tinggal mereka jauh lebih ‘baik’ jika dibandingkan dengan khemah atau pusat penempatan sementara. 

Sejauh mana rumah mereka ‘selamat’ untuk didiami?

Berdasarkan laporan Gaza Strip Rapid Damage and Needs Assessment (RDNA) oleh Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU), sektor kediaman mengalami kerosakan fizikal tertinggi berbanding mana-mana sektor lain dengan kos kerugian mencecah $18.0 bilion. Kerosakan yang dimaksudkan termasuklah kerosakan pada dinding, bumbung, tiang, asas bangunan, pintu, tingkap dan kelengkapan rumah. Justeru, kerosakan yang berlaku bukan sahaja boleh menjejaskan kestabilan bangunan atau rumah, malah turut menjadikannya berisiko untuk didiami ketika musim hujan, angin kencang atau berlaku gegaran kecil.

Maka, berlakulah insiden seperti di bangunan Al-Saada dan menyebabkan kematian lebih 20 orang rakyat Palestin. Dan, jangan lupa dengan lebih 2,000 buah bangunan berisiko untuk runtuh, adakah kita akan menyaksikan lebih banyak kematian yang berpunca daripada kesan peperangan?

Tidak cukup dengan itu, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) mendedahkan peperangan telah menghasilkan lebih 61 juta tan sisa runtuhan bangunan. Proses pembersihan pula perlukan penelitian yang terperinci kerana risiko dengan bahan letupan yang belum meletup seperti asbestos. Di sini sahaja kita boleh lihat bagaimana ancaman tidak hanya datang daripada dinding dan bumbung yang boleh runtuh tetapi di sebalik sisa runtuhan, ada bom jangka yang bila-bila masa sahaja boleh meletup apabila diusik. 

Hak untuk Pulang Bermakna Kediaman Mesti Selamat

Kita menuntut hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air dan kita tidak boleh pisahkannya daripada hak terhadap kediaman yang selamat. Betul, usaha untuk membangunkan semula Gaza telah dibincangkan. Tapi apa perkembangannya?

Setakat 20 September 2026, pasca keruntuhan bangunan Al-Saada mendedahkan bahawa pembangunan semula semenanjung Gaza telah terhenti walaupun pembangunan semula Gaza antara jaminan yang disepakati dalam gencatan senjata. Menurut laporan daripada Los Angeles Times, rejim Zionis-Israel telah menyekat kemasukan hampir semua bahan binaan – simen, keluli, mesin – sehingga menyebabkan kerja-kerja baik pulih menjadi sukar. Sebagai alternatif, UNDP mengusulkan projek kitar semula runtuhan sejak beberapa bulan lalu dengan tujuan untuk membaik pulih infrastruktur hospital, bekalan air, sekolah – bukan untuk membangunkan bangunan baru. Sehingga ke hari ini, seluruh bangunan di semenanjung Gaza bergantung kepada bahan kitar semula seperti kepingan logam dan palet kayu. Usaha yang dilakukan ‘menghidupkan’ semula komuniti di Gaza, sekali gus menampung keperluan rakyat di sana. 

Untuk membangunkan semula semenanjung Gaza bukan kerja yang boleh dibuat sehari dua. Tetapi tidak bermakna pihak yang bertanggungjawab, Israel dan Amerika Syarikat (AS) perlu lepas tangan. Sekurang-kurangnya sebanyak $16.2 bilion untuk membina semula kediaman yang telah musnah di seluruh semenanjung Gaza. Manakala sebanyak $4.1 bilion diperlukan sebagai wang kecemasan untuk menampung penyediaan tempat perlindungan sementara; bantuan tunai kecemasan; pembersihan sisa runtuhan (yang menelan kos lebih $1.7 bilion untuk urus 68 juta tan metrik sisa runtuhan); pembinaan semula unit kediaman yang sudah musnah dan pelaksanaan kod bangunan berdaya tahan.

Jadi, adakah wajar membiarkan penduduk Gaza untuk pulang dalam keadaan rumah mereka berisiko tinggi untuk runtuh?

Tentulah tidak kerana mereka tidak benar-benar pulang.

Tanpa jaminan keselamatan dan pelaksanaan pembangunan semula Gaza, rumah mereka tidak boleh didiami; kawasan kediaman mereka tidak mempunyai akses air dan elektrik yang baik; sekolah dan hospital juga tidak berfungsi; bahan letupan masih tertanam – malah, tidak mustahil mereka tidak tahu wujudnya bahan bahaya di bawah runtuhan rumah mereka dan lebih penting, mereka masih dalam ketakutan kerana gencatan senjata yang sedang berlangsung masih meletakkan nyawa mereka di dalam tangan Zionis!

Di Gaza, peperangan meninggalkan ancaman yang terus hidup di dalam tiang yang retak, dinding yang condong dan bahan letupan yang tertanam. Oleh itu, kejayaan gencatan senjata tidak boleh diukur hanya melalui berkurangnya serangan. Ia perlu diukur melalui kemampuan penduduk untuk kembali ke rumah yang selamat, mendapatkan perkhidmatan asas dan membina semula kehidupan tanpa ancaman kemusnahan berulang. 

Nur Sabrina binti Suhaimi,
Eksekutif Penyelidik dan Advokasi Cinta Gaza Malaysia

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Prinsip Sesebuah Negara Di Bawah Cengkaman Kuasa Hegemoni

Next Post

Negara Berdaulat: Kuasa Nasional Asas Pembebasan Palestin

Related Posts