Prinsip Sesebuah Negara Di Bawah Cengkaman Kuasa Hegemoni

Pada Ogos 2026, landskap geopolitik antarabangsa digegarkan dengan rentetan perubahan dasar luar yang bukan sahaja mengejutkan, malah ibarat mengkhianati sejarah panjang perjuangan blok Selatan Global (Global South) dalam menentang cengkaman imperialisme.

Rencana ini ditulis sebagai lontaran balas terhadap perkembangan landskap geopolitik mutakhir yang mendukacitakan. Siapa sangka, Venezuela yang suatu ketika dahulu di bawah pentadbiran Hugo Chávez dijulang sebagai antara penentang paling lantang terhadap rejim Zionis hingga berani mengambil langkah drastik memutuskan hubungan diplomatik pada 2009 kini beralih haluan. Selepas 17 tahun memutuskan ikatan, krisis dalaman dan peralihan tampuk kepimpinan di Caracas baru-baru ini akhirnya membuka jalan kepada normalisasi semula hubungan dengan Israel. Peralihan arah ini menjadi cerminan pahit tentang bagaimana pendirian sesebuah negara yang dahulunya utuh, kini mudah melentur di bawah percaturan geopolitik dan kuasa besar yang baharu.

Lebih membingungkan, jiran Venezuela di Amerika Latin, Colombia, turut menjejaki haluan normalisasi yang sama. Bayangkan, di bawah pentadbiran Gustavo Petro sebelum ini, Colombia begitu lantang mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan genosid dan nekad memutuskan hubungan diplomatik pada 2024. Namun, sebaik sahaja tampuk kepimpinan bertukar tangan kepada Presiden Abelardo de la Espriella pada Ogos 2026, dasar luar negara itu berpusing 180 darjah. Kerajaan baharu ini bukan sahaja tergesa-gesa memulihkan hubungan dan merancang memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqaddis, malah secara tiba-tiba mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan yang dirampas secara haram. Peralihan drastik ini mendesak kita untuk merungkai satu persoalan kritikal: Mengapa negara yang baru beberapa bulan lalu dijulang sebagai pelindung moral bagi isu Palestin, kini dengan mudah menggadaikan prinsip mereka di meja rundingan hanya kerana pertukaran seorang pemimpin?

Pragmatisme Membunuh Idealisme

Gejala pergeseran kompas moral ini malangnya merentas benua hingga merebak ke Asia Tenggara, dengan Vietnam muncul sebagai kajian kes yang paling ironi. Sebagai sebuah negara republik yang identiti nasionalnya terbina di atas darah dan keringat menentang kezaliman Barat, Vietnam sepatutnya menjadi paksi suara yang konsisten melawan bentuk penjajahan moden. Sebaliknya, Hanoi kini terperangkap dalam sangkar pragmatisme ekonomi yang menelan idealisme sejarahnya sendiri.

Walaupun retorik kebebasan masih meniti di bibir para pemimpinnya, kiblat dasar luar Hanoi hakikatnya semakin lunak terhadap Israel. Lonjakan nilai dagangan antara kedua-dua negara yang melepasi USD 1.5 bilion sebenarnya didorong oleh kebergantungan mendalam Vietnam terhadap perolehan teknologi ketenteraan canggih, dron pengawasan, serta kepakaran agroteknologi Israel.

Kebergantungan strategik ini kini meluas sehingga ke sektor keselamatan siber dan pertukaran risikan, menjadikan urat nadi pertahanan negara itu mustahil untuk dirungkai daripada pengaruh Zionis. Apabila solidariti sejarah disandarkan pada nilai kontrak komersial, Vietnam secara tidak langsung menjadi rakan subahat kepada rejim yang sedang melancarkan pembantaian etnik di hadapan mata dunia.

Tangan Ghaib AS

Peralihan kiblat diplomatik dari Caracas ke Bogota, hinggalah ke Hanoi ini bukanlah satu kebetulan. Ia didalangi sepenuhnya oleh coercive diplomacy acuan Amerika Syarikat (AS). Washington amat arif bahawa sebahagian besar negara membangun kini sedang lemas terhimpit oleh krisis pemulihan ekonomi domestik, bebanan hutang yang menggunung serta ketidakpastian pasaran global.

Bagi Venezuela, pemulihan hubungan dengan Israel adalah kunci untuk melepaskan diri daripada cengkaman sekatan ekonomi AS ke atas industri minyak mereka yang sekian lama lumpuh. Bagi Colombia pula, ia adalah harga yang terpaksa dibayar bagi menjamin pengekalan keistimewaan dagang serta bantuan keselamatan berterusan dari Washington.

Di pentas Asia, Vietnam tunduk kepada keperluan untuk kekal relevan dalam rantaian bekalan cip semikonduktor global yang dikawal ketat oleh AS, selain mencari perisai pelindung bagi mengimbangi ancaman maritim di Laut China Selatan. AS kini dilihat semakin menggunakan instrumen ekonomi, ancaman pemencilan daripada pasaran serta pakej bantuan kewangan sebagai alat tekanan geopolitik untuk mempengaruhi pendirian negara-negara membangun. Dalam realiti hubungan antarabangsa hari ini, kesetiaan terhadap sesuatu pendirian adakalanya bukan lagi semata-mata soal prinsip, tetapi turut hadir dengan tanda harga.

AS Bakal Jatuh?

Di bawah lensa teori neorealisme, pemikir seperti John Mearsheimer sering memfokuskan kepada naratif kebangkitan China dan kemerosotan hegemoni AS (hegemonic decline). Namun, realiti di lapangan jauh lebih rumit. Jika benar empayar Washington sedang runtuh, mengapa blok Selatan Global masih gerun dan akur kepada percaturan dasar luar AS, khususnya dalam isu Palestin?

Jawapannya terletak pada hakikat bahawa dunia kini berada dalam fasa transisi kuasa yang paling berbahaya. Pengaruh geopolitik AS mungkin semakin merosot, namun ia belum lumpuh sepenuhnya. Ibarat kuasa besar yang tercedera, Washington bertindak lebih agresif dan memerah sisa-sisa dominasinya untuk mempertahankan kepentingan strategik sebelum ia benar-benar hilang taring.

Negara-negara membangun kini terperangkap dalam zon kelabu. Mereka melihat blok ekonomi baharu sebagai masa depan, tetapi kelangsungan mereka masih terikat kuat dengan infrastruktur kewangan, sistem perbankan global (SWIFT) dan rantaian teknologi yang masih dikuasai AS. Dominasi mutlak tidak lagi diperlukan. AS hanya perlu memastikan sistem ekonomi sedia ada kekal berfungsi sebagai alat pemerasan sementara menunggu peralihan kuasa sepenuhnya berlaku.

Kedaulatan Malaysia Bukan Untuk Dijual Beli

Mendepani gelombang defisit moral yang amat membimbangkan ini, Malaysia terus teguh berdiri sebagai benteng kedaulatan yang utuh. Walaupun tidak terlepas daripada asakan pelobi pro-Israel mahupun tekanan ekonomi proksi Barat, ketegasan pendirian Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim  dan Wisma Putra membuktikan bahawa kita menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan pembersihan imej (peace-washing) oleh rejim Zionis.

Langkah strategik Malaysia yang agresif menyertai blok ekonomi alternatif seperti BRICS merupakan satu percaturan diplomasi yang berpandangan jauh. Ia bukan sekadar mekanisme ekonomi, tetapi satu langkah memerdekakan dasar luar bagi mengurangkan kebergantungan mutlak kepada instrumen kewangan tunggal yang mudah dimanipulasi oleh kuasa Barat.

Benua mungkin berbeza, namun intipati ancamannya tetap sama. Pengkhianatan dasar luar yang dipertontonkan dari Amerika Latin hingga ke Asia Tenggara ini seharusnya menjadi isyarat amaran yang tajam buat kita — kemerdekaan fizikal sesebuah negara akan menjadi rapuh sekiranya maruah bangsa mudah dilelong atas nama diplomasi. Sesebuah negara mungkin mampu menjamin akses teknologi berbilion dolar dan kelangsungan ekonomi yang gah, tetapi jika kemakmuran itu dibayar dengan menutup mata terhadap genosid, maka kemerdekaan tersebut hanyalah sebuah ilusi yang memalukan peradaban manusia.

Hasya Hasshim,
Eksekutif Penyelidik dan Advokasi Cinta Gaza Malaysia

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tunisia Tahan Lebih 15 Individu Selepas Perarakan Tuntut Pembebasan Aktivis GSF

Next Post

Rumah di Gaza Kini ‘Bom Jangka’

Related Posts