Menurut saksi dan media Israel, pasukan rejim Israel menahan wartawan Amerika Syarikat (AS), Naqa Hamed di sebuah pusat pemeriksaan tentera di selatan Tebing Barat yang diduduki pada Selasa lalu.
Hamed, warga AS yang menetap di Silwad, timur laut Ramallah sedang dalam perjalanan bersama kru media selepas menyelesaikan tugasan penggambaran di al-Khalil apabila tentera rejim Israel menahan mereka berhampiran Tuqu, selatan Baitul Lahm. Anggota kru media lain dibebaskan, manakala Hamed kekal dalam tahanan Israel.
Akhbar Israel, Yedioth Ahronoth melaporkan bahawa Hamed bekerja untuk Press TV, stesen penyiaran berbahasa Inggeris milik kerajaan Iran dan ditahan di sebuah pusat pemeriksaan sementara di tenggara Baitul Lahm. Akhbar itu mendakwa bahawa pekerjaannya dengan penyiar Iran menjadi faktor utama kepada penahanannya.
Sumber berkenaan turut mendakwa Hamed mungkin disiasat atas tuduhan bekerjasama dengan apa yang disebut sebagai ‘organisasi musuh’ serta kemungkinan melakukan pengintipan.
Keluarga Hamed berkata beliau sedang pulang daripada tugasan kewartawanan di Tebing Barat yang diduduki ketika ditahan tentera rejim Israel. Mereka menuduh pihak rejim itu menyasarkan Hamed kerana laporan terdahulunya dari Qusra, sebuah bandar Palestin di selatan Nablus yang berulang kali berdepan serangan pendatang haram Israel.
Setakat ini, tiada maklumat diperoleh mengenai pertuduhan rasmi terhadap Hamed atau tempoh pihak rejim akan menahannya. Penahanannya berlaku ketika tekanan terhadap wartawan Palestin dan wartawan lain yang bekerja di Tebing Barat yang diduduki semakin meningkat.
Kesatuan Wartawan Palestin merekodkan 84 pelanggaran Israel terhadap wartawan sepanjang Ogos lalu, termasuk penangkapan, penahanan, serangan fizikal, gangguan terhadap kerja media serta serangan terhadap peralatan kewartawanan.
Sumber: The Palestine Chronicle
Related Posts
Israel, Arab Saudi Dilaporkan Adakan Kerjasama Risikan Berkaitan Ancaman Houthi
Israel dan Arab Saudi dilaporkan terlibat dalam perbincangan keselamatan secara tidak langsung melalui Amerika Syarikat (AS) ketika Riyadh…
Rejim Israel Lancar Serangan Baharu Di Selatan Lubnan Menjelang Rundingan Damai
Rejim Israel melancarkan beberapa siri serangan udara ke atas selatan Lubnan pada Rabu, hanya beberapa hari sebelum rundingan…
Komander Pasukan Quds: Serangan ke atas Gaza dan Lubnan Boleh Gugat Keselamatan Pelayaran Antarabangsa
Komander Pasukan Quds Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Ismail Qaani memberi amaran bahawa serangan Zionis yang berterusan ke…